Vivo APEX 2019 | |
---|---|
Skrin | 6.41”, FHD+, 19.5:9 |
Chipset | Snapdragon 855 |
CPU | 1 x Kryo 485 2.84 GHz 3 x Kryo 485 2.42 GHz 4 x Kryo 485 1.8 GHz |
GPU | Adreno 640 |
Memori | 12GB RAM |
Storan | 512GB |
Sambungan | WiFi 802.11 b/g/n/ac Bluetooth 5.0 A-GPS, GLONASS MagPort |
Sistem | Android 9.0 Pie |
Bateri | 4000 mAh, pengecasan 40W |
Tahun 2019 menyaksikan pelbagai hasilan peranti yang menarik. Antara rekaan peranti boleh-lipat, yang membolehkan peranti dijadikan sebagai mod tablet apabila ia dibuka keluar. Namun selain daripada rekaan yang unik ini, pengeluar juga mempunyai idea yang agak sedikit pelik, iaitu menghadirkan sebuah peranti tanpa sebarang lubang sambungan. Pada tahun ini, terdapat dua model peranti telah diperlihatkan dalam menjayakan usaha ini.
Pada bulan Februari 2019 yang lalu, Vivo sedia memperlihatkan Vivo APEX 2019 iaitu telefon tanpa port berlubang atau sebarang butang. Ia merupakan peranti kedua yang hadir dengan rekaan seperti ini, selepas pengenalan Meizu Zero pada waktu tersebut. Namun pembangunan Meizu Zero telah dibatalkan disebabkan oleh kurang mendapat sambutan di laman Indiegogo.
Jadi dengan pembatalan peranti Meizu Zero, Vivo adalah satu satunya pengeluar yang mampu menawarkan peranti fizikal berasaskan rekaan ini. Ia hanya diperlihatkan pada sejumlah acara di luar negara, sekaligus menyukarkan pihak media menguji secara ringkas produk ini. Namun pada hari ini, kami berkesempatan untuk mendekati peranti ini dengan lebih dekat melalui sebuah acara media tertutup di ibu negara.
Vivo APEX 2019 diwujudkan untuk meneruskan lagi rekaan peranti tanpa takuk. Ia tidak membawa sebarang port atau bahagian terbuka, selain tidak menyajikan sebarang butang pada mana-mana bahagian. Dengan ketiadaan bahagian terbuka, ia juga tidak membawakan sebarang pembesar suara, bicu audio, dan slot SIM pada mana-mana bahagian.
Dengan ketiadaan sejumlah fungsi ini, Vivo telah menawarkan beberapa teknologi baru di dalamnya. Antaranya sambungan MagPort, keupayaan Touch Sense, dan fungsi SoundCasting.
Untuk menggantikan sambungan USB, Vivo telah membawakan peranti ini dengan sambungan baru berasaskan MagPort. Sambungan ini bertindak sebagai sambungan magnetik untuk pengecasan dan sambungan peranti ke komputer. Pada penghujung sambungan ini, ia masih ditawarkan dalam bentuk USB-C, jadi anda boleh penggunakan powerbank untuk mengecas peranti ini.
Untuk menggantikan fungsi butang, Vivo telah menawarkan fungsi Touch Sense dengan memberi tindak balas haptik melalui sentuhan kapasitif. Ia boleh diaktifkan apabila pengguna menyentuh indikator butang pada bahagian tepi kanan peranti. Kemudian, skrin akan memaparkan ikon panduan untuk lokasi butang pelarasan suara. Tindak balas haptiknya terasa sangat selesa, seumpama tindak balas haptik pada peranti LG.
Untuk pembesar suara pula, ia membawakan fungsi SoundCasting dengan menggetarkan paparan peranti untuk pengeluaran bunyi. Teknologi seperti ini telah hadir pada Xiaomi Mi MIX, namun telah diubah pada model Xiaomi Mi MIX 2. Kualiti bunyi yang dikeluarkan sangat baik, dengan memberi bunyi yang lantang dan keperincian bunyi yang jitu. Cuma tubuh peranti akan terasa sangat bergetar, lebih-lebih lagi anda menguatkan pembesar suara kepada tahap maksimum.
Apa yang menarik lagi, Vivo turut melengkapkan ia dengan fungsi pengimbas cap jari di dalam skrin, yang mana boleh digunakan pada keseluruhan paparan peranti. Anda diberi pilihan untuk menggunakannya dengan satu jari atau kedua-dua jari anda. Namun pada peranti yang kami uji ini, ia dilihat kurang responsif – yang mungkin berikutan daripada peranti berasaskan prototaip.
Rekaan peranti ini walaupun dilihat seumpama plastik, ia sebenarnya hadir dengan binaan berasaskan kaca. Rekaan belakang ini terasa sangat ergonomik, dengan memberi rasa pegangan yang selesa apabila berada di tangan. Cuma ia terasa agak licin apabila dipegang, atas kehadiran binaan yang sedikit membulat pada bahagian sisi peranti.
Untuk kebolehan SIM, Vivo APEX 2019 telah memanfaatkan teknologi eSIM di dalam peranti. Sejumlah rangkaian telko pada hari ini pun sudah mula menawarkan teknologi ini – lebih-lebih lagi selepas pelancaran siri iPhone XS. Untuk pendengaran audio, ia juga tidak menawarkan sebarang bicu audio 3.5mm, sekaligus memerlukan pengguna bergantung kepada aksesori berasaskan Bluetooth.
Vivo tidak menyatakan saiz skrinnya pada mana-mana bahan pemasaran – termasuk keratan siaran akhbar yang diberikan kepada kami. Namun kami berjaya melihat saiz skrinnya melalui aplikasi AIDA64, yang mana ia membawa paparan bersaiz 6.41-inci. Resolusi yang didatangkan ialah Full HD+ (2340 x 1080), sekaligus memberi ketumpatan skrin sekitar 402 ppi.
Vivo APEX 2019 dilihat telah dijana dengan spesifikasi terkini untuk 2019, seperti cip Qualcomm Snapdragon 855, memori 12GB RAM, dan menawarkan storan 512GB. Ia juga dijana dengan penggunaan grafik Adreno 640, dalam membolehkan permainan berkualiti tinggi dapat dimainkan dengan pantas. Dengan adanya RAM yang tinggi, anda dapat melakukan sejumlah perkara intensif di dalamnya dengan lebih baik, seperti menjalankan berbilang aplikasi atau aplikasi berasaskan AR.
Vivo APEX 2019 juga menjadi peranti pertama Vivo dengan 5G, melalui penggunaan modem Qualcomm Snapdragon X50 yang didatangkan secara terbina. Dengan adanya kebolehan 5G, ia sebuah peranti yang bersedia untuk masa hadapan, terutama apabila telko di sini bakal mempunyai sokongan untuknya. Keupayaan 5G bukan sahaja dapat memberi kelajuan internet yang lebih pantas, tetapi dapat mengurangkan latency berbanding sambungan 4G LTE.
Peranti ini dilihat hadir dengan keupayaan dwi-kamera, namun Vivo tidak menyatakan sebarang informasi berkaitan dengan sensornya. Dengan keupayaan dwi-kamera, ia dijangka akan memberi penggambaran Portrait Mode dan fungsi penggambaran bersudut ultra lebar. Melalui penggunaan cip pemprosesan berprestasi tinggi, ia juga bakal menyokong rakaman video [email protected] seperti yang ditawarkan pada peranti mercu yang lain.
Pada unit ujian ini, ia tidak membawakan sebarang kamera hadapan, namun dijangka akan diperkenalkan melalui teknologi di bahagian bawah skrin. Pada aplikasi kamera juga, hanya kamera utama sahaja yang boleh dibuka – jadi sebarang fungsi kamera hadapan masih tidak ditawarkan buat masa ini. Sebagai alternatif, anda perlu memanfaatkan kamera utama secara tradisional, ketika ingin menggunakan fungsi penggambaran diri.
Vivo APEX 2019 telah menjalankan antaramuka Funtouch OS 5.0 yang dibina berasaskan Android 9.0 Pie. Antaramukanya kelihatan ceria, dengan menyajikan sejumlah pilihan tema yang boleh dimuat-turun oleh pengguna. Cuma seperti iterasi Funtouch OS sebelum ini, ia banyak dipengaruhi daripada rekaan iOS – terutama dari segi perletakkan Control Center. Paparan utamanya juga tidak disajikan dengan talam aplikasi, sekaligus meletakkan kesemua aplikasi terpasang di dalam satu paparan ini.
Untuk pengecasannya, pihak Vivo turut menyertakan pengecasan pantas berasaskan 40W, yang mana boleh dicas melalui sambungan MagPort di belakang peranti. Walau bagaimanapun, informasi mengenai kapasiti baterinya masih tidak diumumkan secara rasmi oleh pihak Vivo. Namun dengan melihat info melalui aplikasi AIDA64, ia dinyatakan membawa kapasiti 4000 mAh.
Vivo APEX 2019 ini dilihat ingin menawarkan sebuah peranti yang hadir dengan rekaan yang lebih ringkas dan minimal. Walaupun ia membuang sejumlah port sambungan, alternatifnya sudah pun ada pada masa kini, jadi ia mungkin kurang memberi impak yang drastik. Cuma idea seperti ini pastinya menerima kritikan, kerana ia memerlukan pengguna bergantung kepada aksesori tambahan, seperti penyesuai (adapter) atau aksesori berasaskan Bluetooth. Namun kebaikannya, peranti seperti ini mungkin dapat menerima penilaian IP yang lebih tinggi untuk perlindungan air yang lebih baik.
Peranti ini tidak dijual di pasaran dan hanya ditempatkan sebagai peranti konsep. Rekaan peranti ini kemudiannya akan digunakan pada model akhir akan datang, yang mana dijangka akan dilancarkan pada tahun 2020. Ia diperlihatkan terlebih dahulu bagi memudahkan pengguna menjangka apakah penawaran peranti masa hadapan yang akan dibawa oleh Vivo.