Carian
Microsoft Menyenaraikan Fungsi Yang Dibuang Pada Pelayar Web Microsoft Edge Berasaskan Chromium
April 9, 2019 Arib Ismail

Microsoft pada sebelum ini telah pun menawarkan versi pembangunan Microsoft Edge berasaskan Chromium untuk diuji. Chromium sebenarnya merupakan enjin yang digunakan pada pelayar web Google Chrome – jadi terdapat beberapa perkara yang tidak akan dibawa pada versi terbaru Microsoft Edge.

Microsoft telah berkongsi sejumlah perkara dan fungsi yang tidak dibawa pada Microsoft Edge ini melalui halaman rasmi mereka. Ia memperlihatkan sejumlah perkhidmatan besar daripada Google – seperti Translate, Web Store, Extension Store, dan Google Now telah ditukar atau dinyahaktifkan.

Beberapa perkhidmatan ini telah ditukar bagi membolehkan sejumlah perkhidmatan Microsoft digunakan pada pelayar web ini. Antara perkara yang telah dimasukkan ialah sokongan Microsoft Account, fungsi penterjamahan daripada Bing Translate, dan ‘Extensions for Microsoft Edge’ untuk lokasi memuat-turun pemalam.

Microsoft juga dikatakan sedang membangunkan pelayar web berasaskan Chromium ini untuk peranti ARM, jadi ia memerlukan penggunaan sumber yang lebih ringan. Dengan ketidakhadiran sejumlah fungsi daripada Google Chrome, ia membolehkan Edge memberi ketahanan bateri yang lebih lama dan prestasi yang lebih baik.

Jadi bagi anda yang berminat untuk mengujinya, pelayar web Microsoft Edge berasaskan Chromium telah sedia diuji bermula hari ini. Anda boleh memuat-turun versi pembangunannya melalui halaman rasmi pembangunan Microsoft Edge.

Komen