Fail Google Docs Kini Boleh Dihasilkan & Disunting Melalui Perkhidmatan Dropbox

Fail Google Docs Kini Boleh Dihasilkan & Disunting Melalui Perkhidmatan Dropbox

Diterbitkan pada Apr 10, 2019 oleh .

Dropbox antara perkhidmatan storan awanan yang popular dalam membuat penyimpanan fail pengguna. Ia sering digunakan secara persendirian dan kolaborasi antara rakan sekerja kerana ia menawarkan sejumlah fungsi pejabat secara terbina. Pada hari ini, Dropbox telah mengumumkan fungsi suntingan Google Docs terus melalui perkhidmatan ini.

Fungsi penyuntingan dokumen sebenarnya telah pun sedia ditawarkan kepada semua pengguna Dropbox. Ia menggunakan perkhidmatan daripada Microsoft Office Online – merangkumi perisian atas talian Microsoft Office Word, Excel, dan PowerPoint. Pengguna boleh menyunting dan menghasilkan fail .docx, .pptx, dan .xlsx melalui kesemua perkhidmatan daripada Microsoft ini.

Namun dengan pengenalan Google Docs pada Dropbox, pengguna kini diberi pilihan sama ada untuk menyunting dan menghasilkan fail pejabat melalui Google Docs atau Microsoft Office Online. Kebolehan ini dapat memudahkan pengguna menggunakan perkhidmatan pilihan mereka, tanpa perlu keluar daripada halaman Dropbox.

Fungsi suntingan Google Docs pada Dropbox ini telah diperkenalkan terlebih dahulu kepada pengguna Dropbox Business bermula hari ini. Ia dijangka akan diperluaskan kepada pengguna lain dalam memudahkan pengguna membuat suntingan fail Google Docs secara pantas.


TIPS & ULASAN