Cari @ Amanz

Kecerdasan Buatan Digunakan Facebook Bagi Mengelakkan Akaun Pengguna Mati Muncul Di Senarai Saranan Aktiviti

Link Copied!

Facebook sudah wujud selama 15 tahun dan ia mempunyai lebih dari satu bilion pengguna aktif. Oleh sebab itu kini mereka turut mempunyai jutaan akaun pengguna yang telah meninggal dunia. Sebulan lalu mereka memperkenalkan fungsi Tributes yang membolehkan akaun pengguna mati diubah menjadi laman memorial memperingati mereka.

Hari ini mereka mengumumkan beberapa lagi fungsi baharu yang berkaitan dengan pengguna yang telah meninggal dunia. Pertama sekali akaun yang telah diubah menjadi memorial akan mempunyai tab khas Tributes. Pada tab ini pengguna lain boleh meninggalkan ucapan kepada si mati atau berkongsi foto sebagai tanda hormat.

Kandungan yang dipaparkan serta kebenaran kepada siapa yang boleh meninggalkan komen boleh dikawal oleh Legacy Contacts – insan yang telah diamanahkan oleh pemilik akaun untuk mengambil alih apabila mereka meninggal dunia. Dengan tab baharu ini susur masa yang ditinggalkan oleh si mati tidak akan bercampur dengan ucapan dari saudara dan sahabat handai.

Turut diumumkan ialah sistem kecerdasan buatan yang menghalang akaun pengguna yang telah mati dari muncul dalam senarai saranan pengguna. Akaun pengguna yang mati tidak akan berubah ke Tributes melainkan ia diminta oleh ahli keluarga. Sekiranya ia tidak dilakukan, kadang kalau Facebook akan memberikan sarana menghantar jemputan atau peringatan ucapan hari jadi ke akaun si mati. Bagi mengelakkan kesilapan ini berlaku, kecerdasan buatan akan digunakan.

Menerusi fungsi-fungsi baharu ini, Facebook berharap kematian pengguna tidak akan mendatangkan kesedihan kepada ahli keluarga yang masih menggunakan platform mereka.


Komen ()