Cari @ Amanz

Bitcoin Kini Telah Mencapai Melebihi 400 Juta Transaksi

Link Copied!

Bitcoin merupakan salah satu kriptomatawang popular sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2009. Ia direka sebagai alternatif kepada mata wang fiat dan boleh digunakan dalam pelbagai urus niaga. Pada hari ini, Bitcoin telah mencapai satu pencapaian baru, dengan mencatatkan lebih 400 juta transaksi telah dilakukan melalui penggunaan kriptomatawang ini.

Perkara ini berikutan daripada perkembangan positif untuk pasaran kriptomatawang, dengan mencatatkan nilai yang lebih baik berbanding beberapa bulan yang lalu. Ia telah menyebabkan rangkaian Bitcoin menjadi lebih aktif, sekaligus membolehkan ia mencapai transaksi setinggi ini. Sewaktu artikel ini ditulis, 1 BTC bersamaan dengan RM21,505 – berbanding RM13,396 pada 15 Disember 2018.

Pada saat ini, Bitcoin telah mencapai melebihi 350,000 transaksi di dalam sehari. Sistem rantaian blok untuk kriptomatawang ini telah menggalas kira-kira 14,904 transaksi pada setiap jam – tanpa sebarang cuti atau masa penyelenggaraan.

Pencapaian ini memberi perkembangan yang baik untuk pasaran kriptomatawang, lebih-lebih lagi Bitcoin antara yang terawal dan terbesar di dalam arena ini. Pada tahun ini juga, Bitcoin telah memasuki usia 10 tahun selepas ia diperkenalkan pada 3 Januari 2009.


Komen ()