Teknologi paparan telah melalui perubahan yang drastik, terutama melalui peningkatan resolusi skrin. Pada saat ini, teknologi paparan seperti HD, Full HD, dan 4K telah banyak digunakan oleh pengguna. Teknologi 8K baru sahaja muncul di pasaran, namun Sony nampaknya ingin menawarkan teknologi paparan ini jauh lebih ke hadapan – dengan menghasilkan paparan beresolusi 16K.
Paparan ini telah diperlihatkan di pusat penyelidikan Shiseido yang bertempat di Yokohama, Jepun. Paparan ini mempunyai kelebaran 19.2m dan ketinggian 5.4m, sekaligus menyerupai saiz sebuah bas.
Paparan ini dikatakan membawa teknologi paparan Crystal LED, bagi membolehkan paparan ini menghasilkan kontras warna yang lebih terang. Teknologi ini tidak memerlukan pencahayaan di belakang (backlight), selain mampu memberi keterangan skrin yang lebih baik berbanding OLED.
Apa yang menjadi perhatian ialah resolusi yang didatangkan iaitu 16K. Ia membawa peningkatan piksel sebanyak 16 kali berbanding 4K, dan 64 kali apabila dibandingkan dengan paparan Full HD.
Sony tidak mensasarkan paparan ini untuk dijual kepada pengguna kerana ia memerlukan sumber yang sangat mahal untuk dihasilkan. Ia hanya ditawarkan untuk kegunaan korporat buat masa ini untuk kegunaan pertunjukkan dan pemasaran.