Carian
Ini Ialah Gambar Pertama Lohong Hitam Yang Berjaya Diambil Di Angkasa Lepas
April 10, 2019 Effi Saharudin

Lohong hitam ialah enigma angkasa lepas kerana tiada siapa tahu apakah yang terjadi selepas objek melepasi ufuk peristiwa dan disedut masuk kedalamnya. Walaupun kerap dipaparkan di siri TV dan layar peraka seperti filem Interstellar, rupa sebenar lohong hitam tidak pernah diambil sehinggalah hari ini.

Teleskop radio Event Horizon Telescop (EHT) telah digunakan untuk menangkap imej fenomena yang tidak pernah dilihat oleh manusia sebelum ini. Kesemua imej yang dihasilkan sebelum ini adalah anggaran berdasarkan perkiraan matematik. EHT adalah projek usahasama yang memerlukan lapan radio teleskop di seluruh dunia untuk menangkap gelombang radio dari galaksi Messier 87 (M87) yang terletak 55 juta tahun cahaya dari bumi secara serentak. Hasilnya ialah sebuah teleskop radio yang mempunyai saiz yang sama dengan bumi telah dihasilkan pada April 2017.

Jadi mengapakah imej bersejarah ini hanya didedahkan selepas dua tahun? Pertama sekali ialah keran jumlah data yang dikumpul di dalam proses cerapan yang mengambil masa seminggu. Sebanyak 5 Petabyte data telah disimpan di dalam 1000 cakera memori. Kerana saiz yang terlalu besar, data tidak boleh dihantar menggunakan internet dan sebaliknya dihantar secara fizikal.

Data ini kemudian dikumpulkan sebelum perlu disahkan terlebih dahulu. Dari data yang terkumpul, imej lohong hitam pertama telah berjaya diambil. Apa yang dilihat ialah gegelung gas yang panas membentuk lingkaran seakan kuih donut.

Gegelung gas ini memecut dengan laju apabila ia ditarik masuk ke dalam lohong hitam. Gegelung pada bahagian bawah kelihatan lebih terang kerana cahaya menghala ke arah bumi manakala gegelung atas kelihatan gelap kerana cahaya bergerak menjauhi bumi. Lubang gelap di bahagian tengah adalah lohong hitam yang tidak membenarkan sebarang objek melepasinya kerana tarikan graviti yang amat kuat.

Imej yang diambil ini akan digunakan untuk membantu ahli sains memahami dengan lebih lanjut mengenai lohong hitam. Ia boleh digunakan untuk melihat bagaimana ruang dan masa melengkung apabila menghampiri tarikan graviti yang tinggi.

Komen