Nampaknya kini pihak Apple dalam perancangan untuk mungkin menamatkan penawaran iTunes – atau mungkin juga mempunyai perancangan lain yang berbeza untuk iTunes. Mengikut laporan baru, Apple dikatakan akan menyertakan sejumlah aplikasi baru pada macOS versi akan datang, termasuk Music, Podcasts, TV, dan Books.
Malah, Apple juga sebelum ini telah mengumumkan yang mana aplikasi TV akan hadir ke Mac pada tahun ini – sekaligus memperkukuhkan lagi desas-desus berkaitan aplikasi-aplikasi yang beroperasi secara kendiri ini.
Ini dijangka lanjutan daripada pengenalan aplikasi Apple News pada Mac pada tahun lepas, selain strategi baru daripada Apple yang baru memfokuskan kepada perkhidmatan.
Namun, sekiranya benar hal ini, semestinya ramai tertanya-tanya apakah fungsi iTunes selepas ini, selain hanya menyelarikan peranti-peranti pengguna seperti iPod dengan Mac dan sebagainya.