Kajian Visa: Malaysia Menduduki Tangga Ke-19 Dalam Penggunaan E-Pembayaran

Kajian Visa: Malaysia Menduduki Tangga Ke-19 Dalam Penggunaan E-Pembayaran

Diterbitkan pada Apr 11, 2019 oleh .

Baru-baru ini, kajian Visa telah mengeluarkan laporan yang menyatakan Malaysia menduduki tempat ke 19 daripada 73 buah negara yang melakukan transaksi secara elektronik berhubung dasar dan prasarana.

Untuk makluman, penilaian ini dicapai melalui Kedudukan Penggunaan E-Pembayaran Kerajaan (GEAR) iaitu indeks Unit Perisikan Ekonomi (EIU) dan penanda aras yang diperakui oleh Visa.

Menerusi kaji selidik indeks antarabangsa ini, EIU menilai penggunaan e-pembayaran mengikut tujuh kriteria iaitu transaksi antara warganegara dan kerajaan (C2G), kerajaan-ke-warganegara (G2C), perniagaan-ke-kerajaan (B2G), dan kerajaan-ke-perniagaan (G2B). Ia juga merangkumi penilaian dari segi kemudahan prasarana, sosioekonomi, dan dasar untuk membolehkan e-pembayaran ini dilakukan.

Bagi kategori B2G, Malaysia telah menduduki tempat pertama, manakala kategori C2G dan G2C pula menunjukkan Malaysia berada pada tempat ke-8. Faktor pencapaian kedudukan ini didorong oleh medium pembayaran digital, antaranya seperti tol jalanraya dan saman trafik.

Ng Kong Boon iaitu Pengurus Visa Malaysia turut mengatakan bahawa perolehan data sebegini dapat mengerakkan negara ke arah pembangunan era digital. Ia membuktikan pelbagai pihak seperti syarikat dan kerajaan berusaha dalam mentransformasikan landskap digital negara. Melalui usahasama yang berterusan daripada pihak yang terlibat, ia dapat memperkukuhkan lagi kaedah pembayaran digital ini kepada semua warganegara Malaysia.

Secara keseluruhannya, Malaysia menerima maklum balas yang positif berhubung dengan kedudukan kaedah e-pembayaran ini. Kerajaan dilihat komited dalam memberikan sokongan yang tinggi kepada teknologi kewangan (Fintech) dalam memperluaskan kaedah ini kepada orang ramai.


TIPS & ULASAN