Cari @ Amanz

Grab Memperkenalkan Fungsi Pengesahan Penumpang Berasaskan Imbasan Wajah

Oleh Liyana

Link Copied!

Grab iaitu sebuah perkhidmatan seru-pandu di Asia Tenggara telah mengumumkan ciri terbaru mereka iaitu Pengesahan Identiti Penumpang. Fungsi ini tampil dengan ciri yang sedikit unik, dengan membolehkan pengguna mengesahkan identiti mereka pada aplikasi Grab melalui tangkapan swafoto secara langsung.

Penghasilan fungsi ini adalah sebahagian daripada usaha keselamatan jangka panjang Grab bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia. Penetapan piawaian keselamatan ini dapat menjadikan pengangkutan negara berada pada tahap yang lebih baik. Berdasarkan penggunaan awal ciri-ciri keselamatan seumpama ini, ia telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 30%.

Anthony Loke iaitu Menteri Pengangkutan Malaysia turut menyifatkan kerjasama ini dapat menaiktaraf teknologi untuk kebaikan sosial bersama. Dengan adanya teknologi aplikasi ini, ia dapat membentuk persekitaran dan taraf keselesaan penumpang yang lebih efektif. Penerapan fungsi inovatif ini juga dapat menjadikan pengangkutan di Malaysia lebih selamat digunakan pada setiap hari.

Dengan sistem ini, anda tidak perlu lagi khuatir mengenai maklumat peribadi anda kerana ia dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia (PDPA). Swafoto pengguna yang diambil pada aplikasi ini hanya akan digunakan untuk tujuan pengesahan sekali sahaja. Swafoto tersebut tidak akan dipaparkan sebagai gambar profil atau dikongsi dengan mana-mana pihak luar – termasuklah pemandu yang mengambil seseorang penumpang.

Proses pengesahan ini dijangka akan diperkemaskan lagi mengikut fasa tertentu dari semasa ke semasa. Grab berharap dengan perlaksanaan ini, ia dapat meningkatkan lagi perlindungan keselamatan antara pengguna dan pemandu terhadap sebarang kegiatan jenayah.


Komen ()