Seringkali apabila jenama-jenama komputer membina sebuah peranti baru pada kelas premium dan berkuasa, ia adalah untuk golongan pemain video ataupun esukan, walaupun apabila ramai lagi kumpulan professional lain memerlukan prestasi yang sama. Di acara Acer Global Press Conference, syarikat pengeluar komputer tersebut memperkenalkan siri komputer dan aksesori terbaru mereka, iaitu Acer ConceptD untuk golongan-golongan kreatif professional ini.
Peranti-peranti Acer ConceptD terdiri daripada komputer desktop, komputer riba dan juga paparan skrin dengan spesifikasi yang premium dan berkuasa, dan di acara ini, Acer telah memperkenalkan beberapa peranti, termasuklah desktop Acer ConceptD 900, ConceptD 500 dan komputer riba yang tidak mempunyai butiran khusus buat masa ini.
Desktop Acer ConceptD 900 dan ConceptD 500 hadir dengan spesifikasi yang sangat berkuasa, termasuklah penggunaan CPU Intel Core i9-9900K, CPU kelas pengguna yang paling berkuasa setakat ini, dan juga kad grafik NVIDIA Quadro 6000 serta Quadro 4000 yang digunakan untuk pengolahan grafik beresolusi tinggi untuk tujuan animasi, CGI, ataupun pengolahan objek 3D untuk pelbagai projek kejuruteraan.
Acer ConceptD 500 hadir dengan sokongan untuk sehingga 4 paparan 5K, dan ditujukan untuk pembangun kandungan. Untuk Acer ConceptD 900 pula, ia hadir dengan kuasa pemprosesan yang sangat tinggi, termasuk cip Intel Xeon Gold 6148, sokongan memori sehingga 192GB DDR4-2666MHz, sokongan kad grafik sehingga NVIDIA Quadro RTX 6000, dan juga sokongan storan sehingga 60TB.
Acer turut berkata bahawa dengan siri ini, mereka akan memfokuskan pada semua industri-industri yang memerlukan kuasa pemprosesan komputer dan grafik tanpa mengira pekerjaan. Buat masa ini, Acer masih belum lagi mengumumkan bilakah peranti-peranti ConceptD ini akan tiba di pasaran global.