Cari @ Amanz

Tahun lalu Apple mengumumkan keseluruhan operasi harian mereka di seluruh dunia kini menggunakan kuasa yang dijana sepenuhnya dari sumber lestari. Ini merangkumi pejabat, Apple Store dan pusat data di 43 buah negara. Mereka turut komited untuk menggalakkan rakan pengilangan mereka untuk menggunakan sumber elektrik yang bersih sepenuhnya di masa hadapan.

Di dalam laporan terkini hari ini, Apple mengumumkan kejayaan meningkatkan jumlah pembekal komponen yang menggunakan sumber tenaga lestari ke 44. Ini adalah peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu. Dengan ini sasaran mereka untuk turut menghasilkan peranti menggunakan sumber tenaga lestari sepenuhnya semakin menjadi realiti. Antara pembekal yang mengumumkan komitmen untuk menggunakan sumber tenaga lestari adalah BOE, Corning Incorporated, Finisar, Pegatron, Qorvo, STMicroelectronics, TSMC dan Wistron.

Apple turut akan dapat melepasi sasaran menggunakan 4 Gigawatts tenaga dari sumber lestari menjelang 2020. Selain penggunaan tenaga lestari, Apple turut hanya menggunakan bahan kitar semula dalam penghasilan kotak produk, mengitar semula peranti-peranti lama menggunakan robot dan menggunakan sumber aluminium yang mesra alam pada MacBook serta Mac Mini baharu.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd