Samsung Galaxy S7 merupakan sebuah peranti mercu yang dikeluarkan pada Februari 2016. Selalunya, telefon yang dilancarkan lebih daripada dua tahun tidak akan menerima sebarang kemaskini Android terbaru. Namun mengikut informasi yang diperolehi, peranti Galaxy S7 ini mungkin akan menerima kemaskini terkini berasaskan Android Pie.
Perkara ini diperkatakan selepas Samsung mengemaskini salah satu produk mereka pada halaman WiFi Alliance. Ia menunjukkan peranti dengan nama SM-G930F, iaitu nama lain bagi Galaxy S7 sedang menjalankan Android Pie. Apa yang menarik di sini, Samsung tidak pernah memaklumkan peranti ini akan menerima sokongan Android terbaru ini.
Namun begitu, Samsung sebenarnya tidak pernah memberi sebarang kemaskini ujian selepas Android 8.0 Oreo pada Galaxy S7 ini. Perkara ini mungkin berikutan daripada jangka hayat Galaxy S7 yang kini sudah melebihi 2 tahun.
Samsung pada sebelum ini juga telah memaklumkan bahawa Samsung Galaxy S7 hanya akan menerima kemaskini sekuriti dalam setiap tiga bulan sahaja.
Secara kasarnya, maklumat yang berkaitan dengan pemberian kemaskini Android Pie ini masih lagi tidak dapat disahkan sehingga kini. Sekiranya Samsung menjadikan kemaskini ini sebagai realiti, ia sememangnya dapat memberi keseronokan kepada pengguna peranti ini dalam menikmati sejumlah fungsi terkini.