Cari @ Amanz

Apple baru-baru ini dilihat mengumumkan beberapa perkhidmatan langganan baru, dan diantaranya ialah Apple Arcade, iaitu perkhidmatan langganan permainan yang membolehkan pengguna untuk memainkan permainan-permainan komputer melalui mana-mana peranti Apple, termasuklah Apple iPhone, iPad dan juga peranti komputer dan komputer riba Mac.

Menurut laporan Financial Times, Apple dikatakan bahawa telah ataupun akan membelanjakan sebanyak beratus juta dolar untuk memastikan bahawa platform Apple Arcade mempunyai banyak permainan-permainan berkualiti tinggi apabila ia dilancarkan kelak.

Sumber-sumber Financial Times juga berkata bahawa Apple membelanjakan berjuta-juta dolar untuk kebanyakan daripada 100 tajuk permainan komputer yang akan tiba pada platform tersebut, yang dianggarkan akan melebihi jumlah $500 juta.

Dalam pada itu, Apple turut dikatakan akan memberi para pembangun permainan habuan yang lebih tinggi jika mereka melancarkan permainan-permainan baru pada platform Apple Arcade secara eksklusif buat masa terhad sebelum ia dilancarkan pada platform-platform lain.

Ini adalah langkah yang agak menarik oleh Apple, kerana Google juga dilihat akan melancarkan perkhidmatan penstriman permainan mereka sendiri melalui Google Stadia, yang dilihat menawarkan ciri-ciri yang lebih menarik berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh Apple.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd