Cari @ Amanz

Menjelang acara untuk mempertontonkan 5G kepada umum di Malaysia, ramai pengguna yang turut mempersoalkan mengenai kesan rangkaian 5G kepada kesihatan, dengan ramai di arena sosial mengatakan ia boleh menjejaskan kesihatan.

Menurut salah seorang anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Profesor Dr. Tharek Abd Rahman, ia dikatakan sehingga kini tiada sebarang keputusan penyelidikan yang membuktikan teknologi rangkaian 5G boleh mengundang kemudaratan kepada kesihatan menusia.

Beliau turut mengatakan, kajian yang telah dijalankan setakat ini mendapati pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (Radio Frequency Electromagnetic Field atau RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP).

Selain daripada itu, lebih 25,000 artikel penyelidiikan yang telah diterbitkan dalam tempoh 30 tahun lepas turut tidak membawa sebarang bukti kepada kewujudan impak kesihatan disebabkan oleh pendedahan kepada EMF berskala rendah.

EMF turut dikategorikan dibawah non-ionizing radiation, iaitu gelombang yang kuantumnya tidak cukup untuk memecahkan atau menganggu struktur sesuatu molekul berbanding dengan ionizing radiation. Secara kasar, dalam konteks ini, pendedahan terhadap non-ionizing radiation hanya menyebabkan kesan pemanasan, namun tidak cukup untuk mengakibatkan kerosakan jangka panjang kepada tisu-tisu badan.

Rangkaian 5G bakal dipertontonkan kepada umum oleh pihak SKMM bersama-sama pelbagai rakan kerjasama mereka pada minggu ini, sekaligus memperlihatkan penggunaan rangkaian 5G untuk pelbagai tujuan – termasuk untuk kesihatan, keselamatan awam, pendidikan, pertanian dan sebagainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd