Kecerdasan buatan OpenAI Five telah berjaya mengalahkan pasukan Dota 2 profesional pada hujung minggu yang lalu. Ia mempelajari permainan yang dibangunkan manusia menerusi proses teknik pembelajaran yang diperkuat. Tetapi kecerdasan buatan juga telah digunakan untuk mencipta sukan baharu.
Speedgate ialah permainan yang dicipta oleh kecerdasan buatan setelah mengambil data dari 400 jenis sukan sedia ada. Ia adalah usaha firma rekaan AKQA untuk mencipta sebuah sukan baharu. Sebanyak 1000 konsep dihasilkan dan tiga konsep terbaik telah dipilih. Speedgate ialah permainan yang dihasilkan selepas diuji sendiri oleh pemain manusia. Ia menggabungkan elemen bola sepak, ragbi dan kroket.
Di dalam Speedgate, dua pasukan dengan enam orang pemain akan cuba menjaringkan gol menggunakan bola ragbi. Tiga pemain adalah penyerang manakala tiga lagi menjadi pemain pertahanan. Hanya penyerang bebas bergerak di atas padang permainan.
Markah dijaringkan dengan menendang bola di antara dua tiang gol lawan. Jaringan biasa bernilai dua markah tetapi jika bola yang dijaringkan disambut oleh teman sepasukan yang kemudiannya menjaringkan sebuah lagi gol, pasukan akan diberikan tiga markah. Walaupun ini ialah sukan yang baru sahaja dicipta. pihak AKQA kini berminat untuk memulakan sebuah liga pada musim panas ini.