Cari @ Amanz

Perisian Duet Display membolehkan pemilik macOS menggunakan iPad dan iPhone sebagai skrin sekunder komputer mereka. Ia boleh dibeli pada harga RM40. Apple mungkin akan membunuh perisian ini setelah ia mencuba fungsi yang sama secara terbina pada macOS 10.15 kelak.

Fungsi yang diberi nama Sidecar ini dilaporkan bakal diperkenalkan pada macOS 10.15 yang sedang dibangunkan. Butang hijau pada tingkap program di dalam macOS akan mempunyai pilihan untuk dihantar ke skrin iPad. Pengguna juga boleh memilih untuk memaparkan lebih dari satu tetingkap secara tersusun atau pergi ke skrin penuh seperti yang boleh dilakukan sekarang.

Apabila iPad digunakan sebagai skrin sekunder, ia masih boleh digunakan dengan sebuah Apple Pencil. Dengan kata lain ia membolehkan sebuah iPad Pro digunakan seperti sebuah tablet melukis Wacom secara natif.

Pada waktu yang sama pada macOS 10.15 juga akan akhirnya membawakan fungsi screen snap secara automatik yang boleh ditemui pada Windows 10. Tetingkap yang ditarik ke sisi skrin akan terus melekat bagi memudahkan proses menggunakan dua tetingkap pada satu skrin secara serentak. Kesemua fungsi baharu ini dijangka diperlihatkan di WWDC pada Jun akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd