Cari @ Amanz

Honor 20 Lite
Skrin 6.21”, IPS LCD
FHD+, 19.5:9
Chipset HiSilicon Kirin 710
CPU 4 x Cortex-A73 2.2 GHz
4 x Cortex-A53 1.7 GHz
GPU Mali-G51 MP4
Memori 4GB RAM
Storan 128GB + mikroSD
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
mikroUSB
Sistem Android 9.0 Pie
Bateri 3400 mAh
Pengecasan 10W

Honor sentiasa hadir dengan penawaran yang menarik untuk pengguna. Pada sebelum ini, mereka telah sedia melancarkan Honor 8C yang menampilkan cip Snapdragon 632 pada harga RM599. Peranti ini membawakan rekaan skrin penuh bersaiz 6.26-inci bersama sokongan dwi-kamera 13MP + 2MP. Apa yang menarik, ia membawakan kapasiti bateri 4000 mAh untuk memberi ketahanan bateri yang lama.

Terkini, Honor telah hadir dengan Honor 20 Lite dengan spesifikasi yang lebih berkuasa. Peranti ini sebenarnya adalah Honor 20i untuk pasaran India, jadi spesifikasi dan rekaannya adalah serupa. Pihak Honor Malaysia tidak memaklumkan mengapa mereka memilih penjenamaan Honor 20 Lite ini, namun kami yakin ia akan lebih memudahkan penjenamaan peranti. Apabila Honor 20 dikeluarkan kelak, peranti ini akan diletakkan sebagai peranti alternatif yang lebih berpatutan.

Penawaran Honor 20 Lite juga dilihat hadir mirip seperti Honor 8X, terutama dinilai dari segi penawaran spesifikasinya. Ia membawakan cip, jumlah RAM, dan storan yang sama – namun terdapat perbezaan dari segi rekaan, kamera, dan kapasiti bateri. Harganya juga sedikit berbeza, yang mana Honor 20 Lite ini dijual pada harga RM949, berbanding Honor 8X yang dijual pada harga RM849.

Honor 20 Lite membawakan rekaan berkilau yang cukup menarik perhatian pengguna. Ia memberi efek kilauan yang unik apabila peranti dilihat daripada perspektif berbeza. Rekaannya menyajikan kemasan warna cerun (gradient) yang memukau, sekaligus membuat rupa peranti ini kelihatan anggun dan premium. Cuma binaan belakang peranti ini walaupun ia seakan-akan kaca, ia sebenarnya hadir dengan binaan berasaskan plastik. Binaan ini kelihatan mudah memerangkap kesan cap jari, namun boleh diatasi dengan memakai aksesori tambahan.

Rekaan belakang ini juga hadir perletakkan tri-kamera secara menegak pada bahagian sisi kiri peranti. Di bawah tri-kamera ini terdapat lampu flash LED satu tona warna, berserta tulisan “AI Camera” untuk menunjukan kebolehan penggambaran AI tersedia di dalam peranti. Pengimbas cap jarinya berada di bahagian tengah, yang mana dapat dicapai dengan selesa ketika ingin membuka peranti.

Pada bahagian sisi kanan peranti, ia menempatkan sejumlah butang standard, seperti butang kuasa dan butang pelarasan suara. Pada bahagian kiri, ia membawakan slot dwi-sim berasaskan hibrid, tanpa sebarang slot ketiga untuk perletakkan kad memori secara berasingan. Untuk bahagian bawah peranti pula, ia masih menempatkan sambungan mikroUSB, yang mana seharusnya sudah digantikan dengan sambungan USB-C. Bersebelahan dengan sambungan ini, ia turut menampilkan bicu audio 3.5mm berserta pembesar suara berasaskan mono.

Dari segi keupayaan skrin, ia membawakan paparan sebesar 6.21-inci dengan janaan resolusi Full HD+. Dengan resolusi Full HD+, ia membawa paparan yang terang dan tajam melalui ketumpatan skrin 415 ppi. Panel juga dijana dengan IPS LCD, dalam membolehkan peranti memaparkan kandungan yang jelas untuk harian. Ia dapat memberi darjah pandangan skrin yang luas walaupun anda melihat skrin peranti ini dari sudut berlainan.

Dari segi variasi, Honor 20 Lite hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM + 128GB. Penggunaan RAM ini sebenarnya sama dengan model Honor yang lain, seperti Honor 8X dan Huawei Y9 (2019). Saiz storannya juga masih sama seperti Honor 8X, dengan membolehkan pengguna meletakkan kad mikroSD pada ruang slot sim kedua.

Tidak seperti Honor 8C dengan EMUI 8.2, Honor 20 Lite telah dijana dengan EMUI 9 berasaskan sistem operasi Android 9.0 Pie. Antaramukanya tidaklah membawa perubahan yang drastik berbanding iterasi sebelumnya, namun ia masih terdapat sejumlah penambahbaikan kecil. Kebanyakan antaramukanya kini kelihatan lebih ringkas dan moden, dengan penyertaan sejumlah elemen daripada Android 9.0 Pie. Ikonografinya masih tampil seumpama iterasi EMUI sebelum ini, dengan rekaan dan perwarnaan ikon yang ceria.

Dengan penyertaan Android Pie, pengguna dapat menikmati sejumlah fungsi baru seperti Digital Wellbeing. Fungsi ini dapat memantau masa yang dihabiskan pada peranti anda, sekaligus memudahkan anda untuk menguruskan masa dengan lebih baik. EMUI ini turut menambilkan kawalan Full Screen Gesture, untuk memudahkan anda mengawal peranti seumpama iPhone X. Pengguna juga boleh memanfaatkan fungsi One-handed Mode dalam memudahkan kawalan peranti pada sebelah tangan.

Honor 20 Lite membawakan cip pemprosesan yang serupa seperti Honor 8X dan Huawei Y9 (2019) menerusi penggunaan cip HiSilicon Kirin 710. Cip ini terkenal dengan prestasinya yang sangat baik untuk harian, selain memberi penjimatan tenaga yang amat efisien. Cip Kirin 710 ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Cortex-A73 2.2 GHz untuk teras berkuasa dan 4 x Cortex-A53 1.7 GHz untuk teras efisien. Ia juga dijana dengan GPU empat-teras Mali-G51 MP4, untuk membolehkan peranti menggalas sejumlah permainan pada tetapan grafik sederhana.

Apabila dibandingkan dengan cip sekelasnya, Kirin 710 boleh dikatakan setara dengan cip Helio P70 dan Snapdragon 660. Cip ini juga telah dibina berasaskan 12nm, sekaligus memberi penjimatan tenaga yang lebih baik untuk bateri dan pengeluaran haba. Penawaran memorinya dilihat memadai untuk rata-rata pengguna, melalui kehadiran 4GB RAM bersama storan 128GB berasaskan eMMC 5.1.

Untuk keupayaan kamera, Honor 20 Lite hadir dengan sistem tri-kamera, melalui padanan sensor utama 24MP (f/1.8), sensor 8MP untuk penggambaran ultra lebar 120-darjah, dan sensor 2MP untuk kebolehan Portrait Mode. Ia turut menyajikan fungsi penstabilan imej berasaskan AI (AIS) bagi membolehkan peranti ini menggunakan mod malam. Namun agak sedikit mengecewakan, fungsi penstabilan imej EIS tidak ditawarkan sewaktu membuat rakaman video.

Melalui percubaan ringkas, hasil daripada kamera utamanya dilihat sangat baik, dengan memberi keperincian imej yang tajam bersama pewarnaan yang menarik. Cuma untuk kamera ultra lebarnya, keperincian imejnya dilihat berkurangan dan tidak memberi keupayaan julat dinamik (dynamic range) yang memuaskan. Namun untuk prestasi pertukaran lensa dilihat pantas, tanpa sebarang isu lengah masa yang serius. Paparan kawalan kameranya juga kelihatan seumpama peranti Huawei, dengan menyajikan sejumlah kawalan yang menyeluruh.

Dari segi keupayaan kamera hadapan, ia telah membawakan jumlah megapiksel tertinggi di dalam kelasnya melalui kehadiran sensor 32MP. Dengan megapiksel yang lebih tinggi, ia memudahkan pengguna mendapatkan gambar beresolusi tinggi, selain membolehkan mereka membuat crop pada gambar. Ia juga menyajikan kebolehan Portrait Mode dalam membolehkan pengguna mendapat kesan kabur di bahagian belakang wajah.

Untuk kapasiti baterinya, ia dilihat lebih rendah berbanding Honor 8X, melalui kehadiran bateri 3400 mAh. Cip Kirin 710 dibina berasaskan 14nm, jadi ia dijangka dapat memberi bacaan Screen-on-Time sekitar 5 hingga 6 jam untuk kegunaan sepanjang hari. Namun agak sedikit mengecewakan, ia tidak dibekalkan dengan fungsi pengecasan pantas, jadi anda perlu bergantung kepada pengecas 10W sahaja. Ia juga masih menggunakan sambungan berasaskan mikroUSB, berbanding sambungan terkini berasaskan USB-C.

Honor 20 Lite menyajikan sejumlah penawaran yang seimbang bagi sebuah peranti pada harga RM949. Ia menampilkan rekaan kompak sebesar 6.21, prestasi yang pantas melalui Kirin 710, dan jumlah storan setinggi 128GB. Ia juga menyajikan keupayaan tri-kamera yang menarik, dengan menyajikan kebolehan penggambaran ultra lebar 120-darjah. Apa yang menjadi perhatian, ia turut membawakan kamera hadapan 32MP f/2.0 untuk penggambaran swafoto yang lebih beresolusi tinggi.

Honor 20 Lite telah ditawarkan pada harga RM949 untuk variasi 4GB RAM dengan storan dalaman 128GB. Harga ini dilihat agak kompetitif, kerana ia bersaing dengan Redmi Note 7 4GB RAM (RM949), OPPO F11 (RM1099), dan Galaxy A50 (RM1199) yang juga menawarkan spesifikasi yang setara. Namun Honor 20 Lite telah memberi kelebihan berbanding pesaingnya, melalui penyertaan sistem tri-kamera dan keupayaan kamera hadapan 32MP. Rekaan Honor 20 Lite juga lebih mesra di tangan, kerana ia mempunyai saiz sebesar 6.21-inci yang cukup kompak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd