Cari @ Amanz

Beberapa minggu dahulu, kami ada melaporkan bahawa Facebook telah memberhentikan pilihan untuk mengesahkan akaun Facebook mereka melalui kemasukan kata laluan alamat e-mel yang digunakan untuk mendaftarkan akaun tersebut.

Terkini, Business Insider melaporkan bahawa Facebook bukan sahaja meminta pengguna-pengguna baru untuk mengesahkan akaun mereka menggunakan kata laluan e-mel, mereka juga memuat-naik alamat-alamat tersebut tanpa kebenaran pengguna.

Ia dikatakan bahawa sejak pertengahan tahun 2016 sehingga kini, sejumlah 1.5 juta alamat e-mel telah dimuat-naik tanpa pengetahuan pengguna. Ia dikatakan bahawa alamat-alamat ini digunakan oleh Facebook untuk mencari rakan-rakan lain yang boleh ditambah di laman social tersebut.

Sebelum bulan Mei 2016, Facebook mempunyai sebuah ciri dimana sewaktu pendaftaran, pengguna akan diberi pilihan untuk memuat-naik alamat e-mel mereka ke laman sosial tersebut secara terus.

Pilihan tersebut dibuang selepas kemaskini pada bulan tersebut, akan tetapi Facebook dikatakan terus memuat-naik alamat-alamat e-mel ini tanpa meminta pengesahan daripada pengguna. Satu-satunya petunjuk yang dapat dilihat ialah kotak pop-up yang mengatakan butiran sedang dimuat-naik.

Melalui laporan tersebut juga, pihak Facebook telah mengeluarkan kenyataan bahawa Facebook sedar dan akui akan isu ini, dan telah bertindak untuk membuang alamat-alamat e-mel yang dimuat-naik tersebut.

Facebook juga mengatakan bahawa alamat-alamat ini tidak dikongsi dengan sesiapa, dan mereka sudahpun, ataupun sedang dalam proses untuk memberitahu semua pengguna yang terkesan dengan isu keselamatan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd