Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL adalah peranti mercu dari Google untuk pasaran tahun 2018-2019. Google masih kekalkan penggunaan satu kamera di belakang, kerana yakin dengan kehebatan kamera mereka. Namun, untuk kamera swafoto – Google menggunakan sistem dwi-kamera.
Aplikasi kamera pada peranti Pixel dikenali sebagai Google Camera, atau yang lebih anda kenal adalah GCam. GCam Pixel 3 menyokong banyak fungsi menarik seperti mod malam Night Sight, mod 360 darjah Photo Sphere, mod gerak perlahan, pelekat realiti terimbuh, Photobooth dan banyak lagi. Photobooth adalah antara ciri paling pintar yang terdapat dalam GCam. Ini kerana, ia memfokuskan penggunaan swafoto dan hanya akan mengambil gambar jika gaya yang dibuat adalah lucu atau senyuman diukir pada wajah.
Terkini, Google telah mengemaskini GCam dengan fungsi Photobooth baharu – di mana ia kini boleh mengesan gaya ciuman untuk mengambil gambar. Sebelum ini, mod Photobooth sudah pun cukup pintar. Ini kerana sasaran Google adalah untuk pengguna mengambil gambar tanpa menggunakan pengatup. Photobooth juga sedia terkenal dengan fungsi hanya mengambil gambar jika peranti stabil. Ini adalah untuk mengelakkan gambar yang diambil tidak kabur.
Google telah menggunakan algoritma khas pada Photobooth. Sebagai peringatan, fungsi Photobooth hanya terhad kepada Pixel 3 dan Pixel 3 Xl sahaja. Ini mungkin kerana Photobooth memerlukan dua lensa untuk berfungsi dengan baik. Tetapi jangan risau, terdapat banyak pembangun bebas di luar yang rajin untuk membangunkan semula GCam.