Huawei telah mengumumkan peranti Mate 20 X bakal hadir dengan variasi 5G pada acara MWC 2019. Pada awalnya, peranti ini dikatakan mirip seperti versi asal, cuma ia bakal menyertakan modem berasaskan 5G. Namun melalui perkongsian terkini, ia dikatakan akan membawa sedikit perubahan spesifikasi.
Berbanding Huawei Mate 20 X, variasi 5G ini dijangka hadir dengan penawaran bateri yang lebih rendah iaitu 4200 mAh. Ia mengalami pengurangan sebanyak 800 mAh, apabila ia dibandingkan dengan versi asal yang sedia menawarkan kapasiti 5000 mAh.
Namun begitu, variasi ini akan menyertakan fungsi pengecasan yang lebih pantas, berbanding versi asal yang hanya menawarkan pengecasan 20W. Pada variasi 5G, ia bakal membawakan pengecasan berasaskan 40W, iaitu sistem pengecasan pantas yang ditawarkan pada Huawei Mate 20 Pro. Dengan sistem pengecasan ini, ia membolehkan peranti dicas pada sekitar 70% dalam masa 30 minit.
Untuk spesifikasi yang lain, ia masih kelihatan sama seperti peranti asal, melalui kehadiran skrin 7.2-inci, cip Kirin 980, dan hadir dengan sistem tri-kamera Leica. Ia juga bakal dijana dengan cip Balong 5000 dalam membolehkan peranti ini dihubungkan ke rangkaian 5G.
Variasi 5G untuk Huawei Mate 20 X ini dijangka akan diperkenalkan pada pasaran bermula pertengahan tahun ini. Untuk harganya, ia pastinya akan lebih mahal berbanding versi LTE yang kini dijual pada harga RM2899.