Digital Wellbeing merupakan salah satu fungsi baru yang diperkenalkan bersama Android 9.0 Pie. Ia membolehkan pengguna melihat masa yang dihabiskan pada peranti mengikut penggunaan sesebuah aplikasi. Namun bagi pengguna peranti Xiaomi yang menjalankan Android 9.0 Pie, fungsi ini tidak ditawarkan secara tersedia pada MIUI.
Melalui kemaskini terkini MIUI 10 beta, fungsi seumpamanya telah pun hadir dengan nama Screen Time. Ia membolehkan pengguna melihat aplikasi yang sering digunakan berdasarkan tempoh penggunaan. Pada fungsi ini juga, anda boleh melihat jumlah masa pembukaan peranti dan notifikasi yang diterima di dalam tempoh masa 7 hari dan terkini.
Seperti fungsi Digital Wellbeing pada Android 9.0 Pie, anda juga boleh menetapkan had sesuatu penggunaan aplikasi. Sebagai contoh, anda boleh menetapkan penggunaan Instagram kepada tempoh 1 jam sahaja untuk sehari. Perkara ini sekaligus dapat menguruskan masa penggunaan peranti yang lebih sihat dan berhemah.
Fungsi ini telah diperlihatkan melalui kemaskini MIUI 10 beta yang disediakan pada peranti Xiaomi Mi 8 SE. Ia dijangka akan ditawarkan kepada semua pengguna MIUI 10 apabila kemaskini ini mencapai versi stabil.