Cari @ Amanz

Bercakap mengenai Flash, kami pasti anda pernah menggunakan platform ini. Ia pernah digunakan pada sejumlah besar laman web dalam menyediakan kandungan interaktif. Laman seperti Youtube.com, miniclip.com, dan y8.com, antara perkhidmatan web yang sangat bergantung kepada penggunaan Flash – sebelum wujudnya teknologi baru seperti HTML5. Flash membolehkan pengguna berinteraksi dan menikmati kandungan multimedia pada saiz yang lebih kecil, sekaligus membuatkannya pernah menjadi format yang sangat meluas digunakan.

Adobe FlashSelain daripada web, kandungan Flash juga boleh dibangunkan dalam bentuk fail sendiri (standalone) melalui format yang dinamakan sebagai .swf. Sebelum kewujudan teknologi web moden, fail .swf sering dimuatkan bersama CD-ROM dalam membolehkan pengguna memainkan sejumlah kandungan interaktif di dalamnya. CD-ROM dengan kandungan .swf ini selalunya diberikan melalui institusi pendidikan dan adakalanya diberi melalui pek bijirin sarapan secara terhad.

Namun dengan kehadiran teknologi web baru seperti HTML5, populariti Flash telah jatuh secara drastik – lebih-lebih lagi daripada kebangkitan telefon pintar. Flash memerlukan sumber dan kuasa pemprosesan yang besar, jadi ia tidak begitu dioptimasikan untuk kegunaan peranti mudah-alih. Kandungan Flash akan menyumbang kepada isu prestasi, selain mengurangkan ketahanan bateri untuk kegunaan sepanjang hari.

Dengan adanya platform alternatif yang lebih baik, Flash sudah menjadi ‘sisa hidup’ pada saat ini. Hanya segelintir web sahaja yang menggunakannya kerana pembangun sudah pun berallih kepada teknologi yang mesra mudah-alih. Di dalam artikel kali ini, kami akan menceritakan bagaimana Flash ini bermula sehinggalah ia menerima kejatuhan dari segi popularitinya.

Permulaan

Sejarah Flash bermula apabila Jonathan Gay, Charlie Jackson, dan Michelle Welsh menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai FutureWave Software. Syarikat ini ditubuhkan kerana mereka ingin membina sebuah perisian untuk penghasilan grafik berasaskan penggunaan pen dan tablet. Akhirnya pada tahun 1994, perisian SmartSketch telah dilancarkan untuk PenPoint – iaitu sistem operasi yang dijalankan pada EO Personal Communicator. Perisian ini membolehkan para pengguna menghasilkan grafik berasaskan vektor – seumpama fungsi yang terdapat pada Adobe Illustrator.

Namun tidak lama kemudian, sistem operasi PenPoint telah ditamatkan, sekaligus menamatkan pasaran untuk perisian SmartSketch. Jadi untuk membolehkan SmartSketch ini terus hidup, mereka telah membawa perisian ini ke sistem operasi Windows dan Macintosh. Namun begitu, perisian ini agak sukar untuk meraih pengguna, kerana kedua-dua platform ini sedia mempunyai penawaran yang hebat seperti Adobe Illustrator dan Aldus Freehand. Oleh disebabkan itu, FutureWave telah melihat peluang untuk memasuki ke sebuah platform yang sedang meningkat naik ketika itu – iaitu internet.

Pada mulanya, perisian ini diuji di dalam bentuk pemain animasi berasaskan Java, namun ia terdapat pengurangan prestasi yang drastik. Jadi akhirnya, mereka menyertakannya sebagai sebuah pemalam untuk Netscape Navigator, iaitu sebuah pelayar yang popular pada waktu itu. Teknologi daripada SmartSketch telah dibina semula menjadi sebuah produk baru – menerusi FutureSplash Animator untuk dijadikan sebagai perisian dan pemalam pelayar web ini.

Bagi merancakkan penggunaan FutureSplash, Disney dan Microsoft telah menggunakan teknologi ini pada laman web mereka. Perkara ini telah membuatkan Macromedia berminat untuk membeli FutureWave Software bersama-sama perisian FutureSplash. Pada Disember 1996, Macromedia telah berjaya mengambil-alih syarikat ini dan FutureSplash telah dijenamakan semula sebagai Macromedia Flash 1.0.

Kemuncak

Apa yang membuatkan Macromedia berminat untuk menggunakan Flash, teknologi ini dapat mengurangkan saiz animasi dan video. Saiz kandungan Flash dilihat lebih kecil berbanding fail yang dihasilkan oleh Macromedia Director, iaitu dengan hanya mengambil saiz 1/10 daripadanya.

Dengan saiz kandungan yang lebih kecil, ia membolehkan pelayar web dapat mengurangkan masa menunggu untuk sesebuah kandungan Flash ini sedia digunakan oleh pengguna. Pada waktu itu, pengguna masih menggunakan internet berasaskan dial-up dan sambungan broadband yang perlahan, jadi ia sedikit sebanyak dapat membantu pertumbuhan Flash ini. Dalam tempoh singkat, Flash telah menjadi format interakif paling popular dengan menewaskan beberapa format yang lain seperti Java QuickTime, RealPlayer, dan Windows Media Player.

Pertumbuhan ini turut dibantu melalui penyertaan Flash di dalam pemasangan pelayar web secara tersedia, selain penggunaan PC yang mula meluas selepas pengeluaran Windows XP. Pada era kemuncaknya, sebanyak 92% pengguna internet telah memasang perisian Flash Player di dalam komputer mereka.

Flash sewaktu era permulaannya hanya menawarkan sejumlah kebolehan animasi yang asas. Namun ia telah ditambah dengan kebolehan baru pada setiap tahun, seperti memainkan kandungan audio MP3 dan kandungan ActionScript. Kesemua kebolehan ini membolehkan Flash menjadi lebih interaktif, sekaligus menjadikan web hadir dengan fungsi dan paparan yang lebih menarik. Dengan adanya Flash, web dapat memaparkan perkhidmatan web yang lebih menyeluruh, selain membolehkan pengguna memainkan sejumlah permainan yang menyeronokkan.

Teknologi yang hadir pada Flash juga kemudiannya berkembang untuk menjana kandungan video. Jonathan Gay telah memulakan eksperimen ini dengan membina “Tin Can”, iaitu sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan persidangan video yang dijana dengan Flash. Dengan eksperimen ini, Flash dilihat dapat menjana kandungan video, sekaligus memberi berita baik untuk mengurangkan saiz format video sedia ada. Fungsi Flash ini akhirnya memasuki pasaran pengguna apabila ia telah diperkenalkan pada halaman Youtube pada tahun 2005.

Dengan penggunaan Flash yang cukup meluas, Adobe telah mengambil-alih teknologi ini pada tahun yang sama. Di bawah Adobe, Flash telah diberi kebolehan baru, seperti penggunaan animasi yang lebih menyeluruh dan kebolehan untuk memaparkan kandungan 3D. Versi terbaru untuk Adobe Flash Player juga telah disediakan pada ketiga-tiga platform desktop utama, seperti Windows, macOS, dan Linux. Pada zaman kegemilangannya, Flash dilihat mempunyai jumlah pengguna yang ramai, namun satu bahagian yang tidak digunakan secara meluas adalah pada segmen peranti mudah-alih.

Kejatuhan

Pada tahun 2007, Apple telah memperkenalkan telefon pintar sulung mereka menerusi perkenalan iPhone. Salah satu fungsi yang diketengahkan pada iPhone adalah kebolehan melayari laman web seumpama di desktop. Pada waktu itu, kebanyakan telefon hanya boleh memaparkan kandungan berbentuk WAP dan laman web yang dioptimasikan untuk mudah-alih. Namun begitu, kebolehan web yang ada pada iPhone ini tidak hadir dengan sokongan Flash, sekaligus membantutkan perluasan teknologi ini.

Disebabkan ramai pengguna mengkritik tindakan Apple ini, Steve Jobs telah mengeluarkan surat terbuka untuk menjelaskan isu ini. Beliau telah memaklumkan bahawa Flash dikawal secara ketat oleh Adobe – tidak seperti format HTML5, CSS, dan JavaScript yang lebih bersifat terbuka. Flash juga mempunyai rekod yang buruk berkenaan dengan isu sekuriti, selain memberi kesan kepada isu prestasi dan penggunaan bateri pada peranti mudah-alih.

Sokongan Flash pada peranti mudah-alih sebenarnya ada, cuma ia tidak dioptimasikan dengan begitu baik. Adobe pernah menyediakan Adobe Flash Player untuk platform Android, bermula Android 2.2 Froyo sehingga Android 4.4 KitKat. Pada platform mudah-alih lain, kandungan seperti Adobe Flash Lite juga boleh dibangunkan dalam menggantikan aplikasi natif. Cuma isu berkaitan dengan prestasi, sekuriti, dan bateri menyebabkan Flash hanya ditawarkan sehingga November 2011 untuk platform mudah-alih ini.

Selain daripada peranti iOS, Internet Explorer pada Windows Phone juga tidak boleh menjalankan Flash. Hanya pelayar web berasaskan tablet Windows sahaja yang menyokong fungsi ini.

Selepas melihat daripada kekangan ini, pembangun telah mula beralih kepada format yang lebih mesra peranti mudah-alih seperti HTML5 dan WebGL. Ia dapat menyelarikan pembangunan antara desktop dan peranti mudah-alih, selain dapat memanfaatkan pembangunan yang lebih bersifat terbuka.

Dengan pertumbuhan peranti mudah-alih secara pantas, Flash akhirnya ditenggelamkan dengan sejumlah teknologi web baru ini. Pada tahun 2015, Adobe telah menyarankan kepada para pembangun untuk beralih ke teknologi web alternatif selain daripada Flash ini. Pada tahun 2016, Google telah mula menghalang kandungan Flash dimainkan pada pelayar web Google Chrome.

Flash Pada Hari Ini

Adobe telah mengumumkan penamatan Flash secara sepenuhnya pada penghujung 2020. Bermakna, sebarang perisian untuk pembangunan dan memainkan kandungan Flash akan ditamatkan selepas tempoh masa ini. Kandungan Flash sedia ada masih boleh dimainkan, cuma perisian untuknya tidak lagi akan menerima kemaskini dari segi sekuriti dan sebarang fungsi baru.

Alternatif yang ada seperti HTML5 dapat menggalas keseluruhan besar penawaran Flash ini. Teknologi ini menyokong elemen seperti canvas dan video, sekaligus membolehkan kandungan interaktif dibangun dan dijalankan. HTML5 juga tidak memerlukan sebarang pemalam (plug-in), kerana ia merupakan sebuah teknologi yang tersedia pada pelayar web terkini. Ia lebih mesra peranti mudah-alih, kurang terdedah dengan isu sekuriti, selain menjimatkan penggunaan tenaga berbanding Flash.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd