Laptop Gaming ASUS TUF Dengan Spesifikasi CPU AMD Dan Kad Grafik NVIDIA GTX 1650 Tertiris Di Lazada

Laptop Gaming ASUS TUF Dengan Spesifikasi CPU AMD Dan Kad Grafik NVIDIA GTX 1650 Tertiris Di Lazada

Diterbitkan pada Apr 18, 2019 oleh .

Arena komputer riba gaming sebelum ini biasanya dipenuhi dengan pilihan peranti yang dikuasakan oleh gabungan CPU Intel dan juga kad grafik NVIDIA.

Akan tetapi, jika maklumat yang tertiris melalui laman Lazada ini boleh dipercayai, nampaknya ASUS bakal melancarkan sebuah laptop gaming yang dikuasakan CPU AMD Ryzen dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX yang belum lagi dilancarkan.

Laptop tersebut, yang dinamakan ASUS TUF FX505D-TBQ150T dilengkapi dengan CPU AMD Ryzen 5 3550H, memori DDR4 sebanyak 4GB, storan cakera keras bersaiz 1TB dan mempunyai kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650.

Dari segi ciri-ciri lain, ia juga hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD, sokongan untuk sambungan WiFi 5 dan papan kekunci RGB.

Pada tanda harga RM3099 sahaja, komputer riba ASUS TUF FX505D ini boleh dikatakan salah satu daripada komputer riba gaming yang paling mampu milik, walaupun laman web tersebut sudahpun dibuang buat masa ini. Mungkin ia akan hadir kembali selepas sokongan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 untuk komputer riba disahkan.


TIPS & ULASAN