Cari @ Amanz

Siri laptop ASUS ROG Zephyrus boleh dikatakan tergolong didalam siri computer riba gaming premium kerana rekaannya yang serba nipis dan spesifikasi dalamannya yang sangat berkuasa. Malah, ASUS ROG Zephyrus GX701 dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kelapan dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Max-Q yang terbaru.

Akan tetapi, nampaknya siri tersebut bakal memasuki pasaran komputer riba kelas pertengahan ataupun mampu-milik, kerana jika maklumat yang tertiris ini boleh dipercayai, itulah fokus untuk model ini tidak lama lagi.

Berdasarkan slaid ini, model terbaru siri ini akan dinamakan ASUS ROG Zephyrus GU502, dan ia dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 dan gabungan storan SSD dan juga cakera keras.

Apa yang lebih menarik disini ialah Zephyrus GU502 ini juga akan dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660Ti. Dalam pada itu, ketebalan komputer riba ini hanyalah setebal 20mm sahaja, mengekalkan reputasi siri computer riba ini sebagai peranti ternipis didalam siri gaming ASUS.

Buat masa ini, ia masih belum diketahui lagi bilakah ASUS ROG Zephyrus GU502 ini akan tiba di pasaran, tetapi terdapat kemungkinan besar bahawa ianya akan dapat dilihat sewaktu acara COMPUTEX Taipei tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd