Cari @ Amanz

Kenderaan dua alam digunakan oleh pasukan tentera marin untuk menyerang kawasan pantai terus dari sebuah kapal pengangkut. Ia digunakan dengan jayanya ketika D-Day di Perancis ketika Perang Dunia Kedua dan juga Guadalcanal. Sehingga kini kenderaan amfibia ini masih digunakan oleh pasukan tentera seluruh dunia.

Selari dengan penggunaan sistem swapandu pada dron dan lori pengangkut bekalan logistik, tentera China kini telah berjaya menguji kenderaan amfibia dengan kemampuan swalayar serta swapandu. Ini menjadikan China negara pertama dunia berjaya memperkenalkan sistem seperti ini. Kenderaan yang diberi nama Marine Lizard ini dibina oleh firma Wuchang Shipbuilding Industry Group yang merupakan anak syarikat kepada China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC).

Ia sepanjang 12 meter dengan rekaan badan kapal trimaran dan menggunakan sistem hirdrojet berkuasa diesel. Di atas permukaan laut Marine Lizard mampu bergerak pada kelajuan 50 knot manakala di atas darah hanya 20 km/j. Apabila sampai ke pesisir pantai, empat roda berunut akan dikeluarkan dari bahagian bawah kenderaan.

Menurut laporan media China, Marine Lizard boleh mencari jalan terbaik ke destinasi secara automatik. Sistem GPS oleh BeiDou digunakan bagi memastikan ketepatan navigasi. Untuk mempertahankan diri, Marine Lizard dilengkapi mesingan dan sistem pelancar berlandasan untuk misil anti pesawat serta kapal. Namun begitu kedua-dua senjata ini masih memerlukan anggota tentera untuk berfungsi.

Pihak Wuchang Shipbuilding Industry Group membangunkan kenderaan ini untuk kegunaan tentera China tetapi terbuka kepada pengeksportan kepada negara lain yang berminat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd