Carian
Spesifikasi Moto Z4 Tertiris – Bakal Membawa Kamera 48MP & Sokongan 5G Melalui Moto Mod
April 21, 2019 Arib Ismail

Motorola di bawah Lenovo nampaknya masih giat menghasilkan peranti baru walaupun kian diasak oleh sejumlah pengeluar utama. Pada tahun ini, mereka dilaporkan akan menawarkan Moto Z4 yang merupakan siri ke-empat di dalam keluarga Moto Z. Walaupun ia belum dilancarkan, spesifikasi untuknya telah pun tertiris ke arena web.

Moto Z4 bakal meneruskan rekaan seperti siri Moto Z dengan keupayaan Moto Mods. Namun rekaan hadapannya telah dinaiktaraf kepada skrin 6.4-inci OLED beresolusi Full HD+ dengan takuk seumpama titisan air. Ia juga dikatakan akan membawa cip Snapdragon 675 bersama sistem operasi Android 9.0 Pie.

Untuk keupayaan penggambaran, ia bakal menyertakan sistem satu kamera sahaja, menerusi sensor 48MP. Sistem kamera ini akan dilengkapi dengan mod Night Vision – iaitu mod penggambaran malam seumpama Night Sight pada peranti Google Pixel. Kamera hadapannya hadir dengan sensor 25MP yang membolehkan pengguna mengaktifkan mod swafoto secara berkumpulan.

Moto Z4 juga bakal membawakan kapasiti bateri 3600 mAh yang boleh dicas secara pantas melalui pengecasan TurboCharge. Apa yang menarik, ia juga boleh ditambah dengan sokongan 5G melalui pemasangan Moto Mod 5G yang bakal dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.

Moto Z4 dilaporkan akan diperkenalkan secara rasmi pada bulan Mei tahun ini. Ia dijangka akan membawa harga $550 USD (~RM2272), namun tidak ketahui sama ada ia diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Model Moto Z terakhir yang dilancarkan di sini hanyalah Moto Z2 Play yang diperkenalkan pada Julai 2017.

Komen