Cari @ Amanz

Game Boy Kini Mencecah Usia 30 Tahun

Link Copied!

Game Boy merupakan percubaan sulung daripada Nintendo untuk membawa pengalaman permainan secara mudah-alih. Percubaan ini nampaknya berjaya apabila siri produk ini telah habis dijual dengan angka mencapai 118.69 juta unit. Pada 21 April 2019, sistem permainan ini telah memasuki usia 30 tahun selepas ia diperkenalkan pada 21 April 1989 di Jepun.

Game Boy membawa rekaan yang cukup ikonik pada zamannya, kerana ia mudah dibawa dan disimpan di dalam poket. Pada model asalnya, ia hanya membawakan paparan monokrom dan rekaan yang sedikit tebal. Rekaan sistem permainan ini kemudiannya telah ditambahbaik melalui perkenalan Game Boy Color pada tahun 1998.

Antara permainan yang telah dipopularkan oleh sistem permainan ini ialah Tetris, yang mana telah mencatatkan angka jualan mencapai 30.26 juta unit. Ia sebuah permainan yang cukup menyeronokkan sehingga ia dipertandingkan di beberapa buah acara dunia sehingga kini.

Pengguna juga menyukai Game Boy kerana ia menawarkan ketahanan bateri yang lama. Dengan penggunaan 4 biji bateri AA, pengguna dapat menikmati sesebuah permainan sehingga 15 jam lamanya.

Dengan usia yang mencapai 30 tahun, Game Boy adalah salah satu sistem permainan yang diingati kerana ia merevolusikan permainan mudah-alih. Pada saat ini, usaha ini masih berjaya diteruskan oleh Nintendo – menerusi produk Nintendo 3DS dan sistem permainan hibrid Nintendo Switch.


Komen ()