Google pada Mac lalu telah memperkenalkan spesifikasi ikon baru untuk kegunaan di Google Play Store dan Chrome OS. Bermula hari ini, pembangun Android boleh memanfaatkan spesifikasi ikon baru ini dengan mengaktifkannya pada Google Play Console.
Pengenalan spesifikasi ikon baru ini bertujuan untuk memberi penampakan ikon yang lebih konsisten pada Google Play Store. Ikon baru ini hadir dalam bentuk segi empat yang membulat, selain menyertakan kesan drop shadow di bawah ikon aplikasi.
Pada saat ini, spesifikasi ikon baru ini boleh dipilih oleh pembangun, sama ada ingin mengaktifkannya atau mengekalkan bentuk rekaan ikon lama. Namun selepas 24 Jun kelak, ikon yang berada dalam bentuk petak akan ditukar menjadi bentuk ikon yang membulat. Selepas tarikh ini juga, ikon yang mempunyai elemen lutsinar akan ditukar menjadi “legacy mode” dengan penyertaan warna putih di sekeliling ikon.
Jadi bagi para pembangun yang mempunyai aplikasi di Google Play, anda boleh menuju ke halaman Google Play Console untuk mengaktifkan sistem ikon baru ini. Bagi yang ingin melihat contoh ikon baru ini secara langsung, anda boleh melihatnya pada halaman aplikasi Google Contacts menerusi telefon Android.