Google Lens ialah sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna untuk mencari butiran mengenai sesebuah objek ataupun kawasan melalui gambar yang diambil dengan kamera peranti. Ia agak berguna, tetapi kadang-kala terlalu bergantung kepada aplikasi-aplikasi lain untuk melakukan beberapa tugas.
Terkini, laporan daripada 9To5 Google mengatakan bahawa Google Lens bakal mendapat beberapa kemaskini yang akan mengurangkan kebergantungan tersebut.
Ini termasuklah kehadiran penuras (filter) alih-bahasa yang dapat mengesan teks didalam bahasa asing, dan akan menawarkan untuk mengalih-bahasa secara terus.
Satu lagi ciri ialah “Restaurants” dimana Google Lens boleh mencari butiran makanan yang disajikan oleh mana-mana restoran yang diingini oleh pengguna.
Ciri-ciri seperti ini boleh digunakan terus melalui Google Lens, dan terdapat kebarangkalian besar ia akan diperkenalkan sewaktu acara Google I/O yang akan berlangsung pada bulan Mei kelak.