Cari @ Amanz

Bekalan air dan elektrik membentuk tunjang kemudahan asas di negara Malaysia. Ini bermaksud bahawa dimana sahaja anda berada, anda seharusnya boleh mendapatkan akses kepada kedua-dua bekalan ini tanpa sebarang masalah.

Kerajaan kini nampaknya sedang berfikir untuk menambahkan ketersambungan internet (internet connectivity) kepada senarai kemudahan asas tersebut, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo nampaknya ingin memastikan bahawa semua rakyat Malaysia boleh menyambungkan peranti-peranti mereka ke internet sebagai satu hak, dan bukannya satu keistimewaan.

Kata Gobind, “Jadi di masa depan, kita tidak perlu lihat pembinaan ini ada masalah ‘connectivity’, kena jumpa kontraktor telco tarik fiber yang makan masa dan kos tinggi…jadi kita ingin atasi masalah ini yang mana ini salah satu pencapaian dalam kementerian saya. Kita faham dan kita terima pentingnya connectivity ini,”

Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudahpun memulakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan bahawa kabel fiber yang diperlukan untuk sambungan internet pantas ditanam bersama-sama dengan kawasan perumahan dan perindustrian baru untuk memudahkan ketersediaan sambungan internet.

Dalam pada itu, pihak kerajaan juga masih belum mengesahkan lagi apakah kelajuan internet minimum yang diperlukan oleh rakyat, tetapi dibawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), kelajuan tersebut mungkin akan ditetapkan pada sekurang-kurangnya 30Mbps.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd