Carian
Sebuah Tesla Model S Dilaporkan Meletup Ketika Ia Diparkir Di China
April 22, 2019 Arib Ismail

Kenderaan Tesla walaupun mempunyai rekod yang baik dalam isu keselamatan, ia masih tidak terkecuali daripada sebarang kes kebakaran atau letupan. Ia dijana dengan kuasa bateri dan elektrik, sekaligus tidak menolak kemungkinan kejadian tidak diingini akan berlalu. Ia akhirnya terjadi apabila sebuah rakaman litar tertutup telah tersebar di laman Weibo – dengan menunjukkan kenderaan jenis Tesla Model S meletup secara sendiri.

Kenderaan ini dipercayai berada di tempat meletakkan kenderaan yang berada di sebuah apartmen di Shanghai, China. Video tersebut menunjukkan sekumpulan asap telah mula keluar dari bahagian sisi kereta, dan kemudiannya meletup dalam beberapa saat kemudian.

Mujur di dalam kejadian tersebut, pemandu kenderaan Tesla ini telah meninggalkan lokasi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dicatatkan. Walau bagaimanapun, dua buah kenderaan yang berhampiran telah mengalami kerosakan akibat daripada letupan tersebut.

Rentetan daripada kejadian ini, pihak Tesla telah menghantar sejumlah pasukan daripada mereka untuk menyiasat perkara yang berlaku. Setakat ini, punca sebenar kebakaran masih tidak diketahui kerana ia masih berada di dalam siasatan.

Komen