Imej Pengolokan Rasmi Samsung Galaxy View 2 Hadir Di Arena Web – Kini Lebih Kecil

Imej Pengolokan Rasmi Samsung Galaxy View 2 Hadir Di Arena Web – Kini Lebih Kecil

Diterbitkan pada Apr 23, 2019 oleh .

Samsung Galaxy View adalah sebuah tablet gergasi yang dilancarkan oleh Samsung pada tahun 2015. Galaxy View boleh dikatakan adalah versi awal untuk sebuah paparan pintar. Ia mempunyai paparan 18.4-inci dan harga jualan RM2699.

Tahun lepas, terdengar ura-ura yang Samsung sedang membangunkan pengganti buat Galaxy View ini – iaitu Galaxy View 2. Baru-baru ini, tiba di arena web imej pengolokan rasmi buat tablet gergasi generasi kedua Samsung. Galaxy View 2 dilihat hadir dengan skrin lebih kecil, 17.5-inci dengan rekaan bingkai lebih nipis.

Galaxy View 2 turur hadir dengan perubahan rekaan yang drastik. Bahagian belakang, tiada lagi gabungan pemegang dan kaki yang terbina. Ia digantikan dengan kaki boleh laras untuk memudahkan kerja-kerja menaip dan dengan lubang besar untuk mudah dialihkan dari satu lokasi ke lokasi lain.

Tablet gergasi ini dikatakan dijana dengan cip Exynos 7885 yang dipadankan dengan RAM 3GB dan mungkin pilihan memori serendah 64GB. Seperti peranti-peranti baru Samsung yang lain, ia akan menjalankan sistem operasi One UI berdasarkan Android Pie.

Terdapat dua variasi pilihan kelak apabila ia mula dijual, iaitu LTE + WiFi dan WiFi sahaja. Harga jualan mungkin adalah sama dengan Galaxy View pertama, atau melihat trend harga jualan Samsung sekarang – ia mungkin akan dijual pada harga yang lebih rendah.



TIPS & ULASAN