Cari @ Amanz

Seperti kami laporkan sebelum ini, Tesla berkata mereka akan melancarkan teksi dengan kemampuan swapandu sepenuhnya dalam masa dua tahun. Bagi merealisasikan ramalan ini, mereka telah memperlihatkan Full Self Driving Computer ketika acara Tesla Autonomy Day sebentar tadi. Cip yang direka sendiri oleh mereka ini membawakan peningkatan 21 kali ganda berbanding cip NVIDIA yang mereka gunakan sebelum ini.

Full Self Driving Computer dilengkapi dua cip dengan salah satu disertakan sebagai sandaran sekiranya cip utama mengalami kerosakan. Setiap cip dilengkapi 12 teras Cortex A72 pada kelajuan 2.2GHZ yang dihasilkan menerusi teknologi 14nm FinFET. Ini membolehkan ia memproses kesemua dari yang dikumpul oleh 8 kamera, 12 sensor ultrasonik dan radar yang digunakan pad kenderaan keluaran mereka.

Menurut Elon Musk, komputer ini telahpun dipasang pada kenderaan Tesla Model S, Model X dan Model 3  yang dikeluarkan sejak sebulan lalu. Dengan penggunaan komputer ini Tesla percaya setiap kenderaan baharu mempunyai kemampuan melakukan “swapandu sepenuhnya” menerusi kemas kini perisian.

Pihak Tesla tidak menjelaskan apakah tahap swapandu yang mampu dilakukan tetapi mengatakan sistem “swapandu sepenuhnya” akan dinikmati tahun ini. Ramai mungkin tidak menyedari kereta Tesla hanya mempunyai tahap swapandu tahap 2+ yang masih memerlukan campur tangan manusia dan terhad pada pengguna di lebuh raya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd