Tular di media sosial sejak sebulan yang lalu ialah misteri kehilangan Mohamad Ashraf Hassan ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail. Pihak bomba telah bertungkus lumus melakukan misi mencari dan menyelamat (SAR). Namun begitu kesemua usaha gagal dan beliau masih belum ditemukan. Di Switzerland, misi SAR seperti ini telah mula dilakukan secara automatik menggunakan dron.
Dron yang dibangunkan oleh Swiss Air Resuce (Rega) dilengkapi kamera infra merah, kamera pengesan haba, kamera visual biasa dan alat penjejak isyarat telefon. Algoritma terbina pada komputer dron akan memproses pelbagai data yang dikumpul oleh pelbagai sensor yang digunakan. Kedudukan mangsa kemudian dihantar kepada penyelamat di darat bagi tindakan seterusnya.
Penggunaan dron digunakan kerana ianya pantas dan tidak membahayakan anggota Rega ketika proses SAR dalam cuaca yang buruk. Apabila terbang, petugas manusia hanya perlu menetapkan kawasan carian dan dron akan melakukan carian mengikut grid secara automatik. Dengan dron swaterbang dan “swa-SAR” ini, proses mencari mangsa akan menjadi lebih pantas.