Samsung DeX merupakan fungsi yang membolehkan pengguna menikmati pengalaman seumpama PC apabila peranti dihubungkan ke monitor. Ia menawarkan paparan berbentuk desktop dan mampu melancarkan kesemua aplikasi Android dalam bentuk tetingkap. Apa yang menarik, Samsung DeX kini turut hadir dengan “Linux on DeX”, yang membolehkan anda menjalankan sejumlah perisian untuk Linux.
Sokongan Linux on DeX sebenarnya telah diperkenalkan dalam bentuk beta pada tahun lalu, untuk Galaxy Note 9 dan Galaxy Tab S4. Namun pada hari ini, Samsung telah menambah sejumlah peranti mereka dengan fungsi ini, seperti Samsung Galaxy S9/S9+, Samsung Galaxy S10/S10+/S10e/S10 5G, dan Samsung Galaxy Tab S5e.
Melalui fungsi Linux on DeX, pengguna dapat menikmati versi penuh Linux berasaskan Ubuntu menerusi kebolehan Samsung DeX ini. Bermakna, anda dapat menikmati sistem operasi Ubuntu apabila telefon anda disambungkan ke paparan monitor. Dari segi sokongan perisian, ia menyokong hampir keseluruhan besar perisian Linux yang dibina berasaskan cip pemprosesan ARM.
Kemaskini ini telah ditawarkan kepada kesemua telefon Samsung yang terpilih melalui pemasangan dan kemaskini aplikasi Linux on DeX. Bagi anda yang sudah memasangnya, anda boleh menghubungkan peranti ke monitor untuk menikmati sistem operasi Linux sebenar yang dikuasakan oleh sebuah telefon.