Siri komputer riba gaming ASUS ROG STRIX dikenali ramai sebagai peranti gaming yang memfokuskan kepada tajuk-tajuk e-sukan seperti DoTA 2, League of Legends, Counter-Strike GO, PUBG dan sebagainya.
Sama seperti model-model ASUS ROG STRIX sebelum ini, siri ini terdiri daripada dua laptop, iaitu ASUS ROG STRIX SCAR III dan ASUS ROG STRIX HERO III, dimana satu-satunya perbezaan ketara hadir melalui papan kekunci dimana SCAR III mempunyai kekunci WASD yang dikhususkan, manakala HERO III mempunyai kekunci QWER yang khusus.
Dari segi spesifikasi dalaman, siri ROG STRIX III ini dilengkapi dengan pilihan CPU Intel Core generasi kesembilan, memori DDR4, storan SSD dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070.
Kedua-dua komputer riba ini juga menerima kemaskini dari segi rekaan, mengambil ilham daripada rekaan konsep “Face Off” yang merupakan kerjasama diantara ASUS dan BMW pada tahun lepas, dan selain daripada itu, bar lampu RGB yang kini mengelilingi rangka bahagian bawah laptop ini.
Dalam pada itu, kedua-dua laptop ROG STRIX HERO III dan SCAR III ini mempunyai pilihan paparan skrin 15.6 inci dan 17 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz ataupun 240Hz bergantung kepada pilihan pengguna.
Satu lagi ciri baru pada siri laptop ini ialah ROG Keystone, iaitu sebuah peranti NFC yang boleh menyahkunci storan yang disulitkan.
Menurut ASUS lagi, siri komputer riba ASUS ROG STRIX III ini akan tiba di pasaran pada suku kedua tahun ini, tetapi tidak memberi sebarang butiran mengenai tarikh khusus ataupun tanda harga.