Cari @ Amanz

iOS 13 bakal diperlihatkan pada Jun ini dan ura-ura mengenai fungsi yang bakal dibawa telah pun kedengaran. Melalui perkongsian terkini, iPad dikatakan akan menyokong input berasaskan tetikus untuk memudahkan pengoperasian tanpa kawalan sesentuh.

Info mengenainya telah diterima oleh Federico Viticci, iaitu salah seorang editor yang berkerja di halaman MacStories. Beliau menerima sebuah ‘berita’ daripada sumber yang dirahsiakan, dengan menyatakan sokongan tetikus dijangka akan ditawarkan sebagai perkakasan bantuan di dalam iOS 13.

Perkara ini turut disahkan oleh Steven Troughton-Smith, iaitu salah seorang pembangun yang berkaliber dalam berkongsi sejumlah perkara baru pada iOS. Beliau mengesahkan bahawa fungsi ini sememangnya sedang diusahakan, selain menjangkakan ia akan terus dihidupkan oleh pengguna berkemahiran sewaktu iOS baru ini diperkenalkan.

Walaupun iOS sedia menyokong papan kekunci luaran, sokongan input berasaskan tetikus ini masih tidak ditawarkan secara rasmi pada iOS setakat ini. Namun dengan usaha Project Marzipan untuk menyelarikan aplikasi iOS dan macOS, fungsi ini mungkin tidak mustahil untuk diperkenalkan.

iOS 13 dijangka akan diperkenalkan melalui acara WWDC 2019 yang bakal mengambil tempat pada bulan Jun ini. Acara ini bakal memperlihatkan sejumlah pengumuman menarik, terutamanya melibatkan pembangunan iOS, macOS, watchOS, dan tvOS.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd