HappyFresh, salah satu aplikasi yang memudahkan pengguna membuat pembelian barangan runcit secara atas-talian, kini telah pun mengumumkan kerjasama dengan pihak AEON – sekaligus memudahkan pengguna membeli barangan dari beberapa AEON berhampiran mereka dengan mudah.
Buat masa ini, kerjasama ini meliputi empat AEON, iaitu AEON Wangsa Maju, AEON Taman Equine, AEON MaxValu Prime Sunway Velocity, dan juga AEON Bandar Dato’ Onn Johor Bahru.
Dengan kerjasama ini, pengguna boleh membuka aplikasi HappyFresh, dan melakukan tempahan barangan runcit dari AEON berhampiran – seterusnya barangan berkenaan akan dihantar terus ke rumah anda.
Bersempena dengan pengumuman kerjasama ini juga, pelanggan HappyFresh yang melakukan pembelian daripada AEON terpilih ini akan menerima diskaun bermula RM20, sementara pengguna baru akan menerima penghantaran percuma dan juga baucar RM50.
Selain AEON, HappyFresh turut meliputi sekitar 150 kedai di seluruh negara, termasuk Tesco, Mydin, Giant, Cold Storage dan sebagainya.