Cari @ Amanz

Meizu pada awal tahun ini telah memperlihatkan Meizu Zero iaitu telefon pertama daripada mereka tanpa sebarang port sambungan. Namun peranti tersebut kurang mendapat sambutan pada laman Indiegogo dan hanya dikekalkan sebagai peranti konsep buat masa ini. Hari ini, Meizu telah hadir dengan sebuah lagi telefon berkuasa, yang kini dikenali sebagai Meizu 16s.

Meizu 16s berjaya membawakan rekaan skrin penuh tanpa takuk, dengan meletakkan kamera hadapan pada bahagian bingkai atas yang sangat nipis. Peranti ini membawakan ketebalan 7.6mm dan mempunyai kemasan melengkung di bahagian belakang untuk memberi kadar genggaman yang lebih selesa. Ia juga hadir dengan sokongan pengimbas cap jari di bahagian bawah skrin, bersama penyertaan sistem imbasan berasaskan wajah secara terbina.

Dari segi spesifikasi, Meizu 16s hadir dengan skrin 6.2-inci AMOLED, cip Snapdragon 855, pilihan memori 6GB/8GB RAM, dan pilihan storan 128GB/256GB. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan kamera utama 48MP f/1.7 OIS + 20MP, selain menyertakan kamera swafoto 20MP f/2.2.

Bagi melengkapkan lagi peranti ini, ia turut menawarkan kapasiti bateri 3600 mAh disamping dijana dengan sistem operasi Android 9.0 Pie.

Untuk jualannya, Meizu 16s boleh dipra-tempah bermula hari ini di China dan penghantarannya akan dilakukan bermula 28 April. Ia dijual pada harga bermula CNY 3198 (~RM1965) untuk 6GB RAM + 128GB, CNY 3498 (~RM2149) untuk 8GB RAM + 128GB, dan CNY 3998 (~RM2456) untuk konfigurasi 8GB RAM + 256GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd