Illegear, jenama komputer riba gaming tempatan yang terkenal untuk membenarkan pengguna mengubahsuai spesifikasi dalaman bergantung kepada kemampuan mereka.
Terkini, Illegear memperkenalkan dua siri komputer riba gaming terbaru mereka, iaitu Illegear Prodigy dan juga Illegear Rogue yang hadir dengan saiz paparan yang berbeza, tetapi dilengkapi dengan komponen-komponen terbaru daripada Intel dan juga NVIDIA.
Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-9750H, pilihan memori DDR4 sehingga 32GB, gabungan storan cakera keras dan SSD M.2 NVMe PCIe.
Kedua-dua laptop ini juga dilengkapi dengan kad grafik kelas pertengahan NVIDIA GeForce GTX 1660Ti yang terbaru. Dari segi paparan pula, model Illegear Prodigy dilengkapi dengan paparan nirbingkai bersaiz 15.6 inci pada resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Illegear Prodigy pula mempunyai paparan nirbingkai bersaiz 17.3 inci dengan resolusi dan kadar segar semula yang sama.
Kedua-dua komputer riba ini juga sudah boleh mula dibeli melalui laman web Illegear, dan syarikat tersebut telah mengumumkan harga model asas untuk kedua-dua model ini.
Illegear Prodigy dengan CPU Intel Core i7-9750H, memori DDR4 sebanyak 8GB, storan SSD NVMe PCIe sebanyak 512GB dan kad grafik NVIDIA GeForce 1660 Ti mempunyai tanda harga permulaan RM5199.
Illegear Rogue pula dengan spesifikasi yang sama mempunyai harga RM5299.
Bergantung kepada keperluan gaming anda, anda boleh layari laman web Illegear Rogue dan Prodigy untuk melihat dan mengubahsuai sendiri spesifikasi dalaman yang anda perlukan.