ASUS Bekerjasama Dengan BMW Designworks Untuk Mencipta Laptop Konsep ROG Face Off

ASUS Bekerjasama Dengan BMW Designworks Untuk Mencipta Laptop Konsep ROG Face Off

Diterbitkan pada Apr 25, 2019 oleh .

Selain daripada melancarkan siri-siri laptop baru untuk kegunaan orang ramai, ASUS turut mengambil kesempatan dengan pelancaran siri CPU dan kad grafik baru ini untuk mencipta satu laptop gaming konsep yang dibina dengan kerjasama syarikat rekaan terkemuka BMW Designworks.

Komputer riba tersebut, yang dinamakan ASUS ROG Face Off ialah sebuah komputer riba konsep yang kelihatan seperti kenderaan konsep yang biasa dipertunjukkan di acara-acara permotoran antarabangsa.

 

Projek untuk pembikinan komputer riba konsep ini bermula hampir setahun yang lalu, apabila ASUS, melalui makmal ASUS Design Center mereka melihat konsep rekaan pelbagai firma rekaan, dan memilih Designworks sebagai firma pilihan mereka.

ASUS dan Designworks kemudiannya memerah otak untuk hadir dengan konsep rekaan untuk laptop tersebut, dan tidak lama kemudian, mereka akhirnya membina konsep rekaan ASUS ROG Face Off berdasarkan motorsikal konsep BMW sendiri, iaitu BMW Motorrad VISION NEXT 100.

 

Dari segi rangka luaran, bahagian tepi komputer riba ini dapat dilihat hadir dengan rekaan sirip yang elegen, manakala bahagian atas rangka dalaman hadir dengan rekaan lutsinar yang membolehkan pengguna untuk melihat sistem penyejukan dan komponen-komponen yang digunakan didalam.

Bahagian papan kekunci ASUS ROG Face Off ini juga dilihat mempunyai kemaskini baru, dimana kekunci WASD dan space bar menggunakan besi untuk membezakan kekunci-kekunci ini dengan yang lain.

 

Walaupun beberapa rekaan seperti rangka luaran dan papan kekunci komputer riba ini telah diperlihatkan, rekaan penuh komputer riba ini masih belum lengkap lagi.

Pihak ASUS dan Designworks juga masih tidak pasti lagi bilakah komputer riba konsep ini akan disiapkan, dan kebarangkaliannya tinggi bahawa kita hanya akan dapat melihat konsep ASUS ROG Face Off ini dalam masa setahun ataupun dua nanti.



TIPS & ULASAN