Carian
Canon EOS 200D II Akan Dijual Di Malaysia Pada Harga RM2,999 – DSLR Untuk Vlog & Swafoto
April 25, 2019 Fahim Zahar

Walaupun jualan kamera digital telah merudum disebabkan kehadiran telefon pintar yang mempunyai kamera hebat, ini tidak menghalang pengeluar kamera untuk terus hadir dengan pelbagai kamera mereka sendiri. Canon baru-baru ini telah hadir dengan Canon EOS 200D II dan kamera ini akan dijual di Malaysia tidak lama lagi.

Rekaan kamera adalah lebih kecil dan kompak, pemegang yang lebih selesa dipegang dan juga antaramuka baru yang lebih mesra pengguna. Penawarannya boleh dikatakan menyerupai kamera EOS M50 – melalui kehadiran pemproses imej berasaskan DIGIC 8. Ia turut dilengkapi dengan CMOS APS-C  24.1MP, pilihan ISO dari 100 hingga 25,600, dan sokongan auto-fokus dengan 9 titik pemfokusan. Ia juga menyokong rakaman video 4K dan sistem penstabilan Movie Digital IS untuk mengurangkan kesan gegaran sewaktu rakaman.

Kamera ini turut menawarkan skrin sesentuh LCD yang boleh dilaras untuk kegunaan vlog dan penggambaran diri. Terdapat juga sistem Smooth Skin untuk memberi hasil swafoto yang baik, cantik dan natural. Kamera ini juga mempunyai butang khas untuk disambungkan terus ke Internet, agar mudah untuk pengguna memindahkan fail atau terus berkongsi di media sosial.

Canon EOS 200D II juga mempunyai fungsi Bluetooth LE bagi membolehkan ia dihubungkan kepada telefon pintar. Pengguna boleh gunakan aplikasi Canon Camera Connect untuk mengawal kamera terus daripada peranti.

Kamera ini akan dijual di Malaysia pada tarikh 28 April 2019 dengan tanda harga RM2,999. Pengguna boleh memilih tiga warna iaitu warna hitam, putih dan perak.

Komen