Generasi semasa adalah yang pertama di dalam sejarah terdedah kepada penggunaan peranti pintar sejak masih lagi bayi. Kerana fenomena ini masih lagi baru, kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka masih belum dikaji sepenuhnya. Terkini pihak World Health Organisation (WHO) telah mengeluarkan garis panduan penggunaan peranti untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
Untuk kanak-kanak bawah 1 tahun, WHO menyarankan penggunaan peranti diharamkan sama sekali. Mereka juga tidak disarankan diletakkan di dalam kereta sorong melebihi sejam sehari. Di antara umur 2-4 tahun pula, masa penggunaan skrin perlu dihadkan di bawah satu jam sahaja. Pada waktu yang sama kanak-kanak di dalam julat umur ini perlu melakukan aktiviti aktif sekurang-kurangnya 3 jam sehari bagi memastikan kesihatan tubuh badan. Waktu tidur di antara 11-13 jam sehari turut disarankan.
Saranan ini adalah perlu bagi mengelakkan kematian awal kerana kehidupan yang tidak sihat. Sebanyak 25% orang dewasa dan 80% remaja didapati tidak mempunyai kehidupan yang aktif.