Cari @ Amanz

Saban hari teknologi pengecasan pantas semakin lama, semakin hebat. Tahukah anda yang terdapat banyak jenis sistem pengecasan pantas, namun – masing-masing masih bergantung dengan satu piawaian. Piawaian tersebut adalah daripada pihak USB-IF (USB Implementers Forum).

Mari kita mengenali kesemua sistem pengecasan pantas yang pernah wujud, sedang digunakan dan juga sistem pengecasan masa hadapan.

Power Delivery

Power Delivery adalah satu piawaian asas yang sepatutnya semua pengeluar gunakan. Namun, hanya Qualcomm, Meizu, MediaTek sahaja yang jelas menggunakan asas ini. Piawaian ini adalah daripada USB Implementers Forum (USB-IF) yang mana ia adalah menggunakan USB-C ke USB-C dan telah dicadangkan sejak tahun 2014. Ia berubah-ubah dari USB 1.0 sehinggalah tahun 2017, USB 3.2 diperkenalkan. USB 1.0 hingga USB 3.2 ini bukan sahaja memfokuskan kepada kuasa pengecasan, tetapi juga kepantasan pemindahan data SuperSpeed/SuperSpeed+.

Untuk pengecasan, USB sebenarnya bermula dari tahun 2010 dengan USB 1.0 dengan kuasa 5V/0.5W dan kemudian USB2.0 dengan kuasa 5V/2.5W. Apabila teknologi semakin berkembang, sistem pengecasan pantas USB-PD mula diperkenalkan. Bermula USB-PD 2.0, namun ia tidak popular kerana kuasa yang lemah. Sehinggalah USB-PD 3.0 diperkenalkan. Kuasanya adalah bermula dari 7.5W dan boleh meningkat sehingga 100W.

Kepala pengecas pula boleh mencapai 20V/5A. Piawaian seperti ini digunakan kerana sistem ini mempunyai asas PPS (programmable power supply). Kehebatan USB-PD dari USB-IF ini adalah kemampuan PPS ini yang mampu mencapai 100W. Contohnya Apple, mereka menetapkan Macbook Pro 15-inci 2018 mampu mengecas pada tahap 85w melalui USB-C. Contoh lain ialah Google Pixelbook, telefon pintar Pixel atau tablet Pixel Slate yang Google hadkan daripada 18W sehingga 45W.

Tidak lupa juga kepada iPhone. Sejak iPhone 8 sehinggalah iPhone keluaran 2018, Apple sudah mula menyertakan sokongan pengecasan pantas pada peranti mereka. Setelah sekian lama menggunakan pengecas 5W, akhirnya sokongan yang lebih pantas diperkenalkan. iPhone menggunakan sistem USB-PD seakan Pixel, yang mana hanya mempunyai had 18W. Sayang sekali, pengecasnya perlu dibeli secara berasingan.

Qualcomm Quick Charge (QC)

Sistem pengecasan pantas QC dari Qualcomm sedia dikenali ramai. Ini kerana, banyak peranti pintar di luar sana yang dijana dengan cip pemprosessan Qualcomm Snapdragon menggunakannya. Sehingga hari ini, sudah terdapat lima generasi sistem pengecasan pantas QC.

QC 1.0 dimulakan pada tahun 2013 dengan voltan 5V dan arus 2A. Sistem ini mempunyai kuasa 10W dan pada waktu ini ia terhad kepada satu jenis cip pemprosessan sahaja, iaitu Snapdragon 600. Antara peranti yang dijana dengan cip ini adalah Samsung Galaxy S4, Xiaomi Mi 2S, HTC One, Oppo N1 dan banyak lagi. Namun, pada waktu ini istilah pengecasan pantas jarang digunakan dan tidak semua peranti mengaktifkan fungsi ini.

QC2.0 adalah generasi kedua. Bermula dari QC2.0 sudah banyak cip pemprosessan dari Qualcomm menyokong sistem ini. Isitlah menyokong pengecasan pantas juga telah mula popular disebabkan QC2.0. Voltan adalah dari 5V, 9V, 12V dan arus maksima adalah dari 3A, 2A atau 1.67A. Untuk kuasa pula, ia mampu mencecah sehingga 18W.

Populariti QC2.0 ini turut menarik perhatian Motorola dan Samsung dengan menghasilkan sistem pengecasan tersendiri seperti Adaptive Fast Charging dan turbopower yang berasas dari QC2.0. Sistem pengecasan ini juga banyak digunakan oleh peranti dengan port mikro-USB. Kebanyakan peranti-peranti yang dijana dengan Snapdragon 2xx, 4xx, 6xx dan 8xx, termasuk Snapdragon 801/810 menyokong sistem pengecasan ini.

Walaupun banyak peranti yang sepatutnya menyokong QC2.0 ada sahaja yang tidak mengaktifkannya atas alasan menjaga kesihatan bateri atau tidak ingin membayar loyalti pengiktirafan QC.

QC3.0 adalah generasi ketiga dan pada tahun 2016 ia diperkenalkan. Ia merupakan antara yang paling popular. Ini kerana, banyak pengeluar mula mengimplementasikan sistem pengecasan ini pada peranti mereka. Ramai mengenali QC3.0 adalah kerana tahun 2016 adalah tahun nama Xiaomi mula meningkat dan peranti Xiaomi banyak menggunakan sistem pengecasan ini.

Kuasa adalah 3.6V hingga 20V dengan peningkatan 200mV. Arus pula adalah 2.6A atau 4.6A dengan watt 18W. QC3.0 juga menyokong pengecesan pantas melalui mikroUSB dan USB-C. Antara peranti yang terkenal menggunakan QC3.0 adalah mana-mana peranti yang dijana Snapdragon 625 dan Snapdragon 821. Tetapi banyak sahaja peranti lain yang dijana siri Snapdragon 4xx, 6xx dan 8xx yang menyokongnya.

Qualcomm juga mendakwa yang QC3.0 mampu mengecas kurang 2 jam sehingga penuh. Namun, itu adalah tahap maksima yang mampu dicapai sahaja. Tidak semua mampu capai tahap itu.

QC4 adalah generasi yang keempat dan antara yang jarang didengari. Ini kerana tidak banyak peranti yang menggunakan sistem ini. Salah satu sebab ia jarang digunakan kerana sokongannya terhad dan mirip dengan QC3.0. Variasi QC4 yang kedua adalah sedikit lebih baik, ia menyokong 5V atau 9V dan menyokong turut menyokong USB-PD. Namun seperti QC2.0 dan QC3.0 ia terhad kepada 18W sahaja. Peranti-peranti yang dijana Snapdragon 630, 636, 660, 710 dan 835 adalah peranti yang menyokong sistem QC4.

QC4 masih menggunakan USB-A ke USB-C. Akan tetapi untuk faedah USB-PD, perlu menggunakan USB-C ke USB-C mengikut pengecas yang bersesuaian. Sedar akan kebaikan USB-Power Delivery, Qualcomm mula hadir dengan generasi QC baru pada tahun yang sama. Di laman web Qualcomm, QC4 terus tidak disenaraikan.

QC4+ adalah versi tersebut. Voltan adalah dari 3V-11V mengikut pengeluar peranti. Sistem QC4+ juga adalah sistem yang paling berkuasa oleh Qualcomm. Ini kerana ia berasaskan USB-PD 3.0 yang mempunyai PPS (programmable power supply) – yang mana pembekal kuasanya boleh diprogramkan. Ia masih menyokong pengecasan melalui USB-A ke USB-C, namun kuasanya terhad. Untuk kepantasan yang lebih kuasa – kabel USB-C ke USB-C perlu digunakan untuk capai 3A dan kuasa sehingga 27W.

Peranti yang menyokong sistem ini adalah Snapdragon 670, 675, 712, 730, 730G, 845, 855. Contohnya adalah Xiaomi Mi 9 dengan kemampuan pengecasan maksima 27W.

Meizu mCharge

Meizu sebenarnya turut mempunyai sistem pengecasan pantas mereka yang tersendiri. Ia dinamakan sebagai Super mCharge dan dilancarkan pada tahun 2017. Ia mempunyai kuasa sehigga 55W dengan rekaan pengecas yang sebesar seakan sebuah telefopn pintar. Ia juga hanya mengambil masa 20 minit untuk mengecas dengan penuh.

Pengecas Super mCharge ini adalah 11V/5A dan mempunyai voltan dari 100V sehingga 240V. Pengecas khas ini menggunakan penukar AT ke AT (AT = Arus Terus) yang menggunakan litar luaran untuk mengawal sambungan kapasitor ke input voltan. Meizu turut mendakwa kesihatan bateri adalah sangat baik dengan 800 kali mengecas, kitaran bateri masih berada pada tahap 80%. Masa pengecasan juga hanya mengambil masa 20 minit untuk penuh dan suhu pula terkawal pada 38 darjah celcius sahaja.

Pengecas ini turut menyokong USB-PD. Namun begitu, peranti yang menyokong sistem ini hanya dijual di China sahaja dan disebabkan saiz pengecas yang begitu besar – peranti-peranti baru Meizu hanya disertakan dengan pengecas 18W sahaja di dalam kotak.

Oppo VOOC

Walaupun QC banyak digunakan oleh pengeluar peranti, masih ada juga pengeluar yang enggan menggunakan sistem pengecasan yang sedia ada – tidak kira jika peranti mereka dijana dengan cip Snapdragon. Contoh adalah Oppo dengan sistem VOOC mereka.

VOOC adalah singkatan kepada Voltage Open Loop Multi-step Constant-Current Charging. Disebabkan teknologi ini, pada tahun 2014 – jenama Oppo dikenali ramai. Kemampuan pengecasan pengecas Oppo ini adalah 25W dan hanya mengambil masa 1 Jam 9 Minit sahaja. Kemudian, segala litar pengecas ini dibina pada pengecas dan tidak dibina pada peranti. Peranti hanya menggunakan perisian untuk mengawal.

Pengecas Oppo VOOC ini adalah 5V/4A. Qualcomm menggunakan voltan tinggi, manakala Oppo menggunakan nilai Ampere yang tinggi. Sistem pengecas ini juga memerlukan kabel dan pengecasnya yang tersendiri. Saban tahun menggunakan sistem VOOC, pada tahun 2018 – SuperVOOC diperkenalkan.

SuperVOOC adalah antara yang paling pantas setakat ini. Sistem ini mengambil masa hanya 35 minit untuk mengecas sebuah peranti dengan penuh. Kuasanya menghampiri 55W. Akan tetapi, bateri yang digunakan pada peranti mestilah berasaskan dwi-sel untuk mengelakkan masalah peranti memanas dan juga untuk memudahkan proses pengecasan berlaku dengan lancar.

SuperVOOC atau VOOC juga merupakan antara yang pertama yang berkebolehan, sambil mengecas peranti sambil guna. Tahun 2019, Oppo turut memperkenalkan VOOC 3.0. Pengecasan ini secara asasnya adalah penjenamaan semula VOOC lama. VOOC menyokong USB-A ke MikroUSB dan USB-A ke USB-C. Manakala SuperVOOC hanya menyokong USB-A ke USB-C dan tidak menyokong pengecasan berasaskan USB-PD.

OnePlus DASH Charge

Tahun 2016, OnePlus mengumumkan OnePlus 3. Ia adalah peranti pertama dari OnePlus yang menyokong sistem pengecasan pantas tersendiri iaitu DASH Charge. OnePlus menggunakan teknologi Oppo VOOC, tetapi dihadkan kepada 20W dan tidak menggunakan 25W sepenuhnya.

Menurut OnePlus, ia hanya mengambil masa 30 minit untuk OnePlus 3 tahan selama sehari dengan aras bateri dari 60-64%. Seperti VOOC, pengecas ini turut boleh digunakan sambil cas sambil menggunakan peranti. Masa pengecasan adalah sekitar 1 Jam 15 Minit. OnePlus menggunakan DASH Charge selama 2 tahun, sehingga tahun 2018 – OnePlus memperkenalkan Warp Charge 30.

Nama ’30’ itu membawa maksud 30W. Hanya 10W lebih pantas berbanding DASH. Namun, ia hanya boleh digunakan pada OnePlus 6T McLaren Edition. OnePlus mendakwa ia mampu mengecas sekitar 60 minit sahaja untuk penuh. Disebabkan DASH juga, ramai mengenali jenama OnePlus dan gemar akan sistem pengecasan pantasnya.

Samsung Adaptive Fast Charging (AFC)

AFC adalah sistem pengecasan tersendiri Samsung yangmenggunakan asas QC2.0. Namun, Samsung hanya mengehadkan kemapuan pengecasan kepada 15W. Ia mula digunakan pada Samsung Galaxy S6 dan menurut Samsung kepantasan pengecasan boleh meningkat jika peranti ditetapkan kepada mod kapal terbang.

AFC terus digunakan sehinggalah Samsung Galaxy S10. Masa pengecasan sedikit perlahan, yang mana ia mengambil masa bawah 1 Jam 45 Minit. Sejak peranti Galaxy S7 dan peranti Samsung dikemaskini dengan TouchWiz Grace UX berasaskan Android Marshmallow, Samsung memberi pilihan kepada pengguna untuk hidup/matikan fungsi pengecasan pantas.

Namun untuk Galaxy S10, Samsung mula tawarkan kemaskini untuk mengaktifkan kemampuan pengecasan pantas sehingga 25W. Ini secara tidak langsung membuatkan kami terfikir Samsung mula menggunakan sistem pengecasan pantas berasaskan QC4+ kerana ia mampu mengecas pada tahap 25W (QC4+ boleh capai 27W). Tetapi, pengguna perlu mengecas menggunakan pengecas yang menyokong 27W seperti pengecas QC4+ atau USB-PD 3.0 – kerana di dalam kotak hanya pengecas AFC disediakan.

MediaTek Pump Express

Bersaing dengan QC1.0 yang dilancarkan pada 2013. Pump Express dilancarkan pada tahun 2014 dengan voltan dari 3.6-5V. Sasaran MediaTek adalah mengurangkan 50% masa pengecasan.

Tahun 2015, versi ‘Plus‘ diperkenalkan. Kemampuan versi ‘Plus’ adalah 75% aras bateri dalam 30 minit dan ia mempunyai proses pengecasan yang stabil. Kuasa 15W Pump Express Plus menggunakan pengecas 9V/1.67A. Kemudian pengecas 12V/2A boleh mencapai tahap 24W.

Tahun 2016 Pump Express 3.0 diperkenalkan. Ia mula menggunakan asas USB-PD dan beberapa peranti dari Sony, Lenovo, Gionee and Meizu yang menggunakan port USB-C, dijana Helio P20 ke atas menyokong sistem ini. MediaTek mendakwa 70% hanya mengambil masa 20 minit.

Pump Express 4.0 dan Pump Express Wireless diperkenalkan pada tahun 2018. Ia adalah generasi baharu. Membawakan beberapa penambahbaikan dari Pump Express 3.0. Ia lebih berkuasa dan mempunyai spesifikasi seakan QC4+. Bukan itu sahaja, Pump Express 4.0 juga kini menggunakan asas USB-PD 3.0. Pump Express Wireless pula mempunyai spesifikasi yang agak hebat. Ia mampu mengecas peranti secara nirwayar dari 5W dan meningkat sehingga 15W.

Huawei FCP/SCP

Huawei bagi yang tidak tahu, mempunyai beberapa pengecasan pantas tersendiri. Huawei Fast Charging Protocol (FCP) dan Huawei Super Charging Protocol (SCP). Huawei FCP menggunakan asas seakan QC2.0 iaitu 9V/2A. Namun ia agak perlahan, oleh itu Huawei SCP mempunyai kuasa yang lebih hebat – 4.5V/5A.

Tahun demi tahun, Huawei FCP dilihat hadir ke telefon kelas pertengahan Huawei/Honor dan Huawei SCP hadir ke peranti mercu mereka. Kuasa SCP bermula dari 20W, iaitu setaraf dengan DASH Charge OnePlus. Pada tahun lepas, semasa Huawei melancarkan Huawei Mate 20 Pro – mereka memperkenalkan Huawei SCP yang lebih berkuasa. Kuasa kali ini mencapai 40W dan menawarkan masa pengecasan sekitar 1 jam sahaja.

Seperti VOOC, Huawei menggunakan kuasa pengecasan pantas mereka kepada pengecas – iaitu voltan. Menariknya, kebanyakan pengecas USB-PD yang berkuasa turut boleh mengecas peranti Huawei pada tahap SCP jika peranti itu menyokongnya. Cuma, Huawei FCP/SCP tidak menyokong mana-mana pengecasan berasaskan QC.

Motorola Turbopower

Motorola mendakwa yang sistem pengecasan pantas mereka turbopower, adalah satu sistem pengecasan yang lengkap. Ini kerana ia mampu kekal mengecas peranti Motorola dengan pantas dengan kitaran paling lama. turbopower turut menggunakan perisian dari Motorola untuk memantau tahap pengecasan dan mereka turut mendakwa peranti akan kurang memanas ketika mengecas dengan sistem ini.

turbopower turut menawarkan jangka hayat bateri yang panjang dalam masa 15 minit pengecasan. Kuasa pengecasan hanyalah 25W dan ia agak isitimewa. Ini kerana, turbopower adalah berasaskan QC2.0 yang sepatutunya mempunyai had 18W sahaja. Namun, Motorola boleh mengubahsuai dan memberi kuasa 25W.

Motorola turut mempunyai pengecas berasaskan 15W untuk memberi jangka hayat beberapa jam dalam masa hanya beberapa minit pengecasan. Seperti VOOC, Motorola turut menyokong mikroUSB dan USB-C untuk sistem pengecasan pantas mereka. Atas pengalaman, USB-PD turut boleh digunakan namun perisian Motorola tidak dapat mengawalnya dan secara tidak langsung peranti akan memanas.

Masa Hadapan

Jiika Oppo menawarkan masa pengecasan 35 minit untuk penuh dan Meizu pual hanya 20 minit untuk penuh. Kelak Xiaomi hanya mampu mengambil masa 17 minit untuk cas dari 0% hingga 100% sahaja. Teknologi pengecasan Xiaomi ini mempunyai kuasa 100W dan masa 17 minit ini adalah masa pengecasan untuk peranti dengan bateri berkapasiti 4000mAh. Cuma tidak pasti jika bateri peranti Xiaomi kelak adalah dwi-sel atau seperti OnePlus Warp Charge yang hanya menggunakan bateri satu sel.

Xiaomi tidak berhenti di sini sahaja. Seperti MediaTek Pump Express Wireless, Xiaomi turut akan mempunyai piawaian pengecasan nirwayar pantas. Untuk Xiaomi Mi 9, Xiaomi telah memperkenalkan teknologi pengecesan nirwayar pantas 20W. Ini adalah setaraf dengan Dash Charging. Tetapi usah khuatir, piawaian Xiaomi ini masih lagi berasaskan Qi – jadi mana-mana pad pengecasan nirwayar akan menyokongnya.

Seterusnya, terdapat laporan yang mengatakan Xiaomi sebenarnya bekerjasama dengan Qualcomm untuk jadikan teknologi ini berjaya. Ini memberikan petanda yang kelas kita mungkin akan lihat sistemĀ  Qualcomm Wireless Quick Charging atau mungkin WQC? Jelas di sini, Xiaomi adalah ‘makmal tikus’ Qualcomm.

Siapa sangka di dunia ini banyak betul sistem pengecasan nirwayar berbeza. Sayang sekali tidak semua menyokong antara satu sama lain. Cuma mana-mana berasaskan QC tidak ada masalah menggunakan pengecas berasaskan USB-PD dan mana-mana yang telah menggunakan teknologi berasaskan USB-PD juga tidak ada masalah untuk digunakan antara satu sama lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd