Nubia merupakan salah satu jenama yang tidak asing lagi bagi pengguna tempatan. Mereka sedia menawarkan telefon pintar memfokuskan permua (permainan mudah-alih) di Malaysia sebelum ini, dan terkini, Nubia telah pun melancarkan telefon pintar generasi baru mereka, Red Magic 3.
Red Magic 3 meneruskan fokus mereka kepada peranti permua, dimana ia hadir dengan pelbagai spesifikasi terkini, selain beberapa ciri-ciri baru.
Nubia Red Magic 3 hadir dengan skrin 6.65-inci AMOLED yang mana turut dikatakan menyertakan sokongan kadar segar semula mencapai 90Hz – sekaligus memberikan paparan permainan yang lebih cantik berbanding skrin biasa.
Menjana telefon pintar ini adalah cip Snapdragon 855, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 256GB, selain bateri berkapasiti 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas USB-PD.
Dalam menyejukkan peranti dan menawarkan prestasi tinggi untuk jangka masa panjang, Nubia turut menyertakan sebuah kipas bersaiz kecil didalamnya, yang berputar pada kadar 14,000rpm dalam keadaan senyap. Nubia mengatakan penggunaan kipas didalam peranti berkenaan menjadikan ia 5 kali lebih baik berbanding kaedah penyejukkan biasa.
Untuk sokongan audio pula, Red Magic 3 menyertakan sokongan speaker stereo pada bahagian hadapan dengan sokongan DTX:S, selain sokongan tri-mikrofon untuk memudahkan anda membuat penstriman permainan. Nubia Red Magic 3 juga turut mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5mm.
Dari segi kamera pula, Red Magic3 menggunakan kamera belakang 48-megapixel yang berupaya merakamkan video pada resolusi 8K, mahupun video gerak-perlahan 1920fps. Untuk rakaman swafoto pula, ia menggunakan lensa 16-megapixel.
Buat masa ini, peranti ini hanya dilancarkan di China sahaja, dimana ia ditawarkan pada harga bermula RMB 2899, iaitu sekitar RM1780.