Carian
Firefox Untuk Android Dijangka Akan Digantikan Dengan ‘Fenix’ – Pelayar Web Baru Daripada Mozilla
April 28, 2019 Arib Ismail

Pelayar web Firefox untuk Android nampaknya telah kurang diberi penekanan daripada pihak Mozilla pada saat ini. Kemaskini baru untuk aplikasi ini hanya ditawarkan pada sebulan yang lalu, tanpa sebarang kemaskini yang kerap seperti sebelum ini. Namun sebenarnya pihak Mozilla telah beralih fokus kepada pembangunan pelayar web baru, yang mana ia bakal dikenali sebagai ‘Fenix’.

Apa yang menarik di sini, ‘Fenix’ dijangka akan menggantikan pelayar web Firefox untuk Android. Perkara ini disahkan daripada sebuah dokumen yang diperlihatkan oleh Mozilla, yang mana memperlihatkan jangka masa pembangunan mereka untuk menggantikan pelayar web Firefox pada Android.

Di dalam dokumen tersebut, Mozilla memperincikan kemaskini Firefox akan datang hanya akan ditawarkan dengan kemaskini sekuriti sahaja. Ia bakal berkuatkuasa selepas 3 September, yang mana Firefox 68 hanya akan dikenali sebagai Firefox 68.1. Bermakna, tiada sebarang fungsi baru akan diperkenalkan sehingga pelayar web Fenix selesai dibangunkan.

Mozilla tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai tarikh pelancaran pelayar web Fenix, namun dijangka akan hadir pada tahun ini. Fenix bakal membawa teknologi web baru seperti GeckoView (berbanding Gecko), dalam meningkatkan prestasi dan penggunaan sejumlah elemen web yang lebih moden.

Komen