Cari @ Amanz

GoDaddy ialah sebuah syarikat perkhidmatan pembekalan nama domain laman web, dan baru-baru ini mereka dikatakan telah menutup sejumlah besar alamat laman web yang dikatakan telah digunakan untuk menipu ramai orang di atas talian.

Menurut pelbagai laporan, GoDaddy telah menutup sejumlah 15000 subdomain yang menggunakan alamat laman web yang sah dan telah menetapkan semula kata laluan beratus akaun-akaun pelanggan yang telah digodam untuk tujuan mencipta subdomain-subdomain tersebut.

Subdomain yang dicipta melalui laman web yang sah ini digunakan untuk menipu mereka yang melayari laman web dengan cara menjual produk-produk palsu yang dikatakan telah menerima sokongan pelbagai selebriti terkenal.

Isu ini pada mulanya ditemui oleh seorang penyelidik daripada syarikat Palo Alto Networks yang bernama Jeff White dua tahun yang lalu, dan sejak itu, telah menjejak penggodam-penggodam ini untuk mengumpul lagi maklumat tentang mereka.

Pada awal tahun ini, Jeff dikatakan telah berkongsi semua maklumat yang telah dikumpulkan, dan GoDaddy telahpun memberitahu semua pelanggan yang terkesan dengan isu tersebut, dan telah menukar kata laluan akaun-akaun yang terkesan tersebut.

GoDaddy menganggarkan jumlah pelawat pada laman-laman web tipu ini pada angka berjuta-juta, dan kini sedang mengesan jika penggodam-penggodam tersebut telah meninggalkan sebarang perisian hasad pada akaun-akaun ini untuk memastikan bahawa mereka benar-benar selamat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd