Sejak beberapa tahun lepas, banyak pengeluar telah hadir dengan fungsi rakaman skrin boleh tatal pada peranti mereka. Di mana, selepas mengambil imej rakaman skrin – pengguna boleh ‘panjangkan’ hasil rakaman skrin dengan fungsi tatalan secara automatik.
Fungsi ini dilihat banyak disediakan oleh pengeluar peranti dari China, seperti OnePlus, Huawei atau juga Xiaomi. Peminat teknologi tidak semua gemarkan sistem operasi pada peranti keluaran China, kerana antaramuka yang agak berat. Ramai gemarkan Android asli. Namun, Android asli tidak mempunyai fungsi rakaman skrin ini.
Banyak laporan telah diajukan kepada pihak Google untuk sertakan fungsi ini. Laporan ini telah diajukan sejak bulan November tahun lepas, sehinggalah Januari tahun ini. Akhirnya, Google telah memberi maklum balas mereka – di mana rakaman skrin boleh tatal tidak boleh diimplementasikan dalam Android asli, kerana ia mustahil.
Alasan lebih jelas adalah, ia sukar untuk diprogramkan. Tidak pasti kenapa Android asli tidak boleh. Sedangkan, Oxygen OS, MIUI atau EMUI tidak mempunyai masalah. Nampaknya kita tidak akan lihat fungsi ini dalam versi Android asli.