Sejumlah pengeluar telah hadir dengan peranti yang menggunakan mekanisma kamera pop-naik, dan kini nampaknya Xiaomi turut tidak ingin ketinggalan. Dalam video acah terbaru yang dikongsikan pihak Xiaomi, mereka memperlihatkan bakal memperkenalkan sebuah telefon Redmi dengan penggunaan kamera swafoto pop-naik.
Buat masa ini, info penuh mengenai telefon pintar ini masih tidak diketahui lagi. Sebelum ini, ia telah diperkatakan telefon Redmi dengan cip Snapdragon 855 bakal hadir tidak lama lagi. Namun, ia tidak diketahui lagi sama ada peranti ini ada kaitan dengan peranti mercu berkenaan atau sebaliknya.
Pada masa yang sama, Xiaomi turut telah mengatakan bakal hadir dengan telefon berasaskan Snapdragon 730 tidak lama lagi.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan apakah kejutan yang disediakan oleh pihak Xiaomi melalui peranti Redmi terbaru mereka ini.